LONDON - Gangguan akibat kabus tebal dijangka berterusan di beberapa lapangan terbang sekitar London pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penerbangan di Lapangan Terbang Stansted terjejas oleh keadaan cuaca pada Sabtu manakala papan pelepasan menunjukkan kelewatan di lapangan terbang Heathrow, Luton dan Manchester.
NATS, penyedia kawalan trafik udara utama United Kingdom (UK) menyatakan sekatan udara sementara akan diteruskan pada Ahad kerana lapangan terbang terjejas oleh kabus.
"Pasukan kami bekerjasama rapat dengan lapangan terbang dan syarikat penerbangan bagi meminimumkan gangguan, tetapi penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing," kata jurucakap NATS.
Ahad dijangka menjadi hari paling sibuk di Lapangan Terbang Gatwick sepanjang musim cuti dengan 769 penerbangan dirancang.
Menurut Pejabat Met, kabus tebal boleh mengurangkan jarak penglihatan kepada hanya 100 meter di beberapa kawasan, dan penumpang dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan untuk mendapatkan maklumat terkini.
Penumpang penerbangan yang tertunda lebih dua jam mungkin layak menerima bantuan, termasuk makanan, minuman atau penginapan semalaman jika diperlukan.
Pada Sabtu, Pejabat Met menasihatkan pengembara untuk memperuntukkan masa tambahan untuk perjalanan dan memberi amaran kepada pemandu agar memastikan kenderaan mereka berada pada jarak yang selamat di kawasan dengan jarak penglihatan rendah.
UK dijangka mengalami keadaan lebih cerah pada lewat Ahad sebelum hujan dan salji menjelang malam tahun baharu, menurut Pejabat Met. - Bernama