KUALA KRAI - Seramai tujuh guru dan 13 murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah di sini terkandas akibat jambatan utama yang menghubungkan Kuala Pertang ke Tanjung Kala di daerah itu terputus hubungan akibat banjir gelombang ketiga di sini pada Ahad.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, kesemua mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan dalam satu operasi oleh APM pada jam 4.30 petang.
"Mereka yang terkandas terdiri daripada tujuh guru dan enam murid lelaki manakala empat murid perempuan.
"Kesemuanya baru tamat sesi persekolahan pada hari ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Menurut beliau, kesemua mangsa yang terkandas diselamatkan oleh pihak APM dalam satu operasi pada hari sama.
"Mereka terkandas kerana jambatan tenggelam.
"APM menjalankan operasi memindahkan mangsa serta menyeberangi banjir menggunakan bot kemudian menggunakan lori untuk dihantar pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, dalam perkembangan banjir di Tanah Merah yang berlaku pada Ahad mencatatkan jumlah mangsa seramai 368 mangsa daripada 113 keluarga.
Kesemua mereka ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara yang dibuka keseluruhan di daerah Tanah Merah terbabit.