Srikandi Bersatu desak PDRM segera siasat Hannah Yeoh

Iklan
Nolee Ashilin. Srikandi Bersatu telah membuat laporan polis secara serentak di setiap negeri di seluruh negara pada jam 10 pagi pada Ahad.

SHAH ALAM - Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tindakan dan agenda Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha yang mengancam keharmonian dan kestabilan negara.

Iklan
Iklan

"Kami juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk segera mengharamkan buku 'Becoming Hannah'.

"Selain itu, kami turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk segera memecat Hannah daripada kabinet atas tindakan yang melanggar prinsip tata kelola Kerajaan Madani," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) mendesak Hannah supaya meletakkan jawatan bagi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan.

Desakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu yang menolak saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Segambut itu selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan (Musa) adalah fitnah.

Iklan

Saman fitnah yang difailkan Hannah pada 30 Januari 2020 dibuat kerana mendakwa Musa antara lain menuduhnya menulis buku 'Becoming Hannah' untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata, sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia cintakan keamanan serta keharmonian, pihaknya merasa terancam dengan tindakan Hannah yang berpotensi menjejaskan masa depan ummah, khususnya golongan belia di bawah portfolio kementerian beliau.

"Tindakan ini juga mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negara ini. Ruang tidak seharusnya dibuka kepada mana-mana pihak untuk melanggar undang-undang dengan melakukan kerja pendakyahan agama bukan Islam kepada orang Islam, apa lagi dengan menggunakan dana awam Persekutuan.

"Kami yakin jika tidak mendapat bantahan meluas pelbagai pihak, kerja 'dakwah' ini sudah berjaya diteruskan dengan aktiviti seperti Jom Ziarah Gereja, sebuah aktiviti yang terbuka kepada belia-belia bukan Kristian seperti yang diiklankan," ujarnya.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin turut memaklumkan Srikandi Bersatu telah membuat laporan polis secara serentak di setiap negeri di seluruh negara pada jam 10 pagi pada Ahad.

Katanya, kes tersebut besar implikasinya kerana kenyataan yang dipertikaikan Hannah menulis bukunya Becoming Hannah dengan tujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan Evangelis dan Yahudi.

"Ia juga untuk merosakkan Islam dan Malaysia serta meletakkan kepentingan peribadi di atas kepentingan negara," katanya.