Liga Arab kecam pembakaran Hospital Kamal Adwan di Gaza

Iklan
Liga Arab mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera pendudukan Israel membakar Hospital Kamal Adwan di utara Semenanjung Gaza selepas menyerbu premis itu yang mengakibatkan kematian kakitangan perubatan - Foto: Agensi

KAHERAH - Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera pendudukan Israel membakar Hospital Kamal Adwan di utara Semenanjung Gaza selepas menyerbu premis itu yang mengakibatkan kematian kakitangan perubatan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Aboul Gheit dalam satu kenyataan menegaskan bahawa jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di Gaza tidak akan dilupakan dan menyifatkan sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap jenayah ini sebagai satu titik hitam pada hati nurani kemanusiaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan menyasarkan hospital dan kakitangan perubatannya serta mengepungnya selama beberapa minggu adalah bukti pengabaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap undang-undang antarabangsa dan tatatertib semasa perang.

Aboul Gheit juga menyatakan bahawa serangan ke atas Gaza selama 450 hari telah mencapai tahap yang mengerikan, dengan kanak-kanak mati akibat kesejukan dan kakitangan perubatan terbakar.

Iklan

Beliau menambah bahawa sikap berdiam diri dunia terhadap jenayah ini akan membawa kepada keruntuhan orde dunia yang berdasarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutamanya selepas kegagalan ketara untuk melindungi orang awam daripada dibunuh atau diseksa. - Bernama

Iklan