Tak memilih kerja sementara dapat pekerjaan tetap

Iklan
Aisy Anaqi yang merupakan graduan UM memilih bekerja sebagai penghantar makanan dalam masa sama mencari pekerjaan sesuai dengan kemahirannya.

SHAH ALAM - Kerjaya sementara sebagai penghantar makanan menjadi pilihan kerana ia menawarkan jadual bekerja yang fleksibel.

Aisy Anaqi Abdul Rahim, 24, berkata, perkara itu menjadikan dirinya lebih fokus untuk mencari pekerjaan sebenar bersesuaian latar belakang pelajaran dan selari dengan sasaran kerjayanya.

Iklan
Iklan

"Saya memang sedang mencari pekerjaan hakiki. Saya percaya pengalaman akademik menjadi asbab penting bentuk diri berfikir dan bertindak serta melatih diri tidak berputus asa mencapai sesuatu.

"Pengalaman bekerja ini jadi titik permulaan untuk persediaan hadapi liku-liku kehidupan menempuh alam bekerja penuh komitmen dan cabaran nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan
Belajar cemerlang, pemuda pilih jadi penghantar makanan.

Sebelum ini, Aisy Anaqi yang merupakan graduan Universiti Malaya (UM) menjadi inspirasi kepada orang ramai kerana tidak memilih kerja walaupun hanya menjadi seorang pemandu penghantar makanan.

Menerusi perkongsiannya TikTok, dia merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Ecology Biodiversity dan bergraduasi dengan gred 3.66 Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tetapi berakhir dengan bekerja sebagai penghantar makanan.

Iklan

Rata-rata warga maya mendapat inspirasi daripada sikap positifnya yang tidak memilih kerja walaupun berjaya dalam bidang akademik.

Ramai yang mendoakan kesejahteraan dan masa depan pemuda berkenaan agar mendapat kerjaya yang diinginkannya dan mengucapkan kata-kata yang positif terhadap semangat serta perjuangannya.

Bagaimanapun ujar Aisy Anaqi, dia merancang untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian bidang dan kemahiran yang dimiliki.

Katanya, jika tidak mempunyai peluang untuk berkhidmat dalam bidang sesuai, dia bersedia bertukar bidang dan menceburi alam pekerjaan yang berbeza.

"Buat mereka di luar sana yang masih belum bekerja, jangan pernah putus asa jika gagal dalam permohonan kerja. Sentiasalah positif, optimis dan pastikan ikhtiar serta doa sentiasa selaras.

"Bekerjalah sambilan atau lakukan apa-apa aktiviti yang boleh tingkatkan perkembangan diri untuk masa hadapan demi mengisi masa yang ada," ujarnya.