SEJAK kebelakangan ini, Merak Jalanan kerap menerima perkhabaran mengejutkan dengan berita pemergian insan-insan yang dikenali.
Rakan yang kelihatan sihat tiba-tiba dikejarkan ke hospital dan selang beberapa hari pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.
Terbaca juga kisah seorang isteri sempat memohon maaf kepada suaminya sebelum ibu kepada dua cahaya mata itu dijemput ajal dalam kemalangan jalan raya.
Kisah-kisah tersebut menyentap jiwa dan memahat kesedaran kepada Merak Jalanan bahawa hidup ini hanyalah pinjaman, yang akan diambil pada bila-bila masa.
Hari ini kita mungkin bersama gelak ketawa, esok lusa kita tidak tahu siapa yang akan pergi dahulu. Ajal tidak pernah menunggu sama ada sihat atau sakit.
Masanya pasti tiba, bahkan sering kali ia datang tanpa tanda.
Dalam kehidupan serba moden ini, kita kadangkala terperangkap dalam kesibukan dunia. Kita leka mengejar pencapaian, harta dan kejayaan sehingga terlupa hakikat semua itu tidak kekal.
Saat ALLAH SWT memanggil kita kembali, pangkat dan kemewahan yang dimiliki akan ditinggalkan termasuklah orang yang kita kasihi.
Seperti syarikat atau jenama yang hilang relevan, manusia juga akan melalui noktah kehidupan yang tidak boleh dielakkan.
Kisah isteri yang sempat memohon maaf kepada suami sebelum maut dalam kemalangan jalan raya mengingatkan kita betapa pentingnya menjalani hidup dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan.
Setiap perpisahan walau seketika, mungkin menjadi yang terakhir. Maka, ucapkanlah terima kasih, mohonlah maaf dan nyatakanlah cinta tanpa berlengah. Ungkapkan selagi kita masih mampu.
Sebagai manusia, Merak Jalanan percaya kita perlu sentiasa bersedia untuk saat tersebut.
Bersedia bukan bermaksud hidup dalam ketakutan tetapi lebih kepada menghargai setiap detik yang diberikan.