LANGKAWI - Siapa sangka hobi tiga beradik bagi mengisi masa lapang ketika pandemik Covid-19 kini menjadi sumber rezeki, hingga mereka berjaya menempa nama dalam industri batik ecoprint.
Usahawan batik, Suraizam Saad, 50, berkata, dia bersama adik kembarnya, Suhaila dan Suraini, 41, menceburi bidang seni ecoprint atau teknik cetakan kreatif secara ‘suka-suka’ pada 2019.
Bagaimanapun katanya, produk batik tekapan daun yang dihasilkan mereka menggunakan bahan semula jadi khususnya dedaun atas jenama Sue’s Collection Langkawi kini mendapat perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.
"Kami belajar teknik ecoprint melalui kelas pembelajaran jarak jauh (PJJ) dengan pakar dari Indonesia dan Thailand, sebelum mula melangkah setapak demi setapak menghasilkan pelbagai produk hasil seni kraf batik menggunakan teknik lebih mesra alam.
"Lebih istimewa, kami menggunakan tumbuhan alam semula jadi yang ada di bumi Langkawi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Kraf Langkawi baru-baru ini.
Suraizam berkata, dia bersama adik-adiknya akan mengutip dedaun yang luruh tanpa mengganggu atau memotong pokok-pokok menghijau di pulau legenda itu.
Katanya, terdapat pelbagai jenis produk batik dijual di Pulau Langkawi, namun apa yang membezakan mereka ialah batik ecoprint menggunakan 100 peratus daun-daun terpilih seperti daun jati, daun lanang, daun jarak dan daun jarak.
"Kami banyak guna daun jati memandangkan ia mudah diperoleh di sekitar pulau ini, sekali gus ia menjadi tanda batik ecoprint kami,” katanya.
Menurut Suraizam, mereka juga menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti kulit nangka dan kunyit untuk dijadikan bahan pewarna, sekali gus menjadikan ia selamat untuk dipakai oleh semua peringkat umur.
Tambahnya, mereka turut menggunakan tawas dan serbuk tunjung yang diperoleh dari Indonesia untuk mengekalkan kesan daun pada kain.
PROSES RUMIT
Suraizam berkata, proses penghasilan batik ecoprint agak rumit termasuk susunan daun pada kain, diikuti penggulungan dan pengikatan yang ketat sebelum dikukus selama dua hingga tiga jam.
Katanya, daun-daun yang telah digunakan tidak dibuang, sebaliknya dijadikan baja kompos demi melestari dan menjaga ekosistem alam sekitar di pulau pelancongan tersebut.Suraizam memaklumkan, sehingga kini Sue’s Collection Langkawi telah menghasilkan lebih 200 jenis produk termasuk tudung, baju, beg dan sebagainya yang harganya bermula RM10 hingga RM800, mengikut saiz serta jenis produk.
"Ada segelintir orang beranggapan harga batik ecoprint mahal, namun hakikatnya proses penghasilannya amat rumit dan memerlukan masa sehingga 15 hari untuk setiap produk,” kata beliau.
Jelasnya, mereka juga sentiasa melakukan kajian untuk menghasilkan produk-produk yang menjadi trend terkini bagi mengikut peredaran masa dan zaman.
Kongsinya, sehingga kini lebih 1,000 unit pelbagai produk batik tekapan daun yang terjual setiap bulan di Kompleks Kraf Langkawi di mukim Bohor itu.
Dia berkata, produk batik tekapan daun yang dihasilkan mereka menggunakan teknik ecoprint kini mula mendapat tempat di hati pelancong dalam dan luar negara, walaupun ia adalah teknik baharu.
Suraizam berkata, mereka pernah mendapat tempahan besar untuk pelancong yang menaiki kapal persiaran di Pulau Langkawi.
"Antara sebab batik ecoprint semakin popular ialah teknik digunakan mesra alam tanpa menggunakan bahan kimia, selain unik,” katanya.
Menurutnya lagi, perniagaan mereka kini telah berkembang dan produk-produk yang dihasilkan berjaya dipasarkan secara dalam talian ke negara lain seperti Singapura, Australia dan Belanda.