TEXAS - Kerjaya seorang model musnah apabila wajahnya melecur tahap tiga selepas terlibat dalam kebakaran akibat letupan di Texas, Amerika Syarikat.
Kejadian itu turut memadamkan impian Delaney Rosey untuk menjadi seorang ejen hartanah, lapor Daily Star.
"Sebelum kejadian, saya seorang model yang menerima pelbagai tawaran daripada agensi namun selepas itu saya tidak pernah berjaya untuk menjadi seorang model.
"Kehidupan saya menjadi semakin sukar sejak insiden itu. Saya berjuang selama bertahun-tahun untuk mengatasi kemurungan dan ingin cepat besar serta tamat pengajian supaya dapat lari jauh daripada mereka yang suka mengata saya," katanya.
Kejadian yang berlaku pada November 2014 itu juga menyebabkan Delaney Rosey terpaksa menjalani 25 pembedahan selain hilang beberapa fungsi normal.
Kecederaan berkenaan memaksa gadis itu belajar untuk berjalan, bercakap dan membuka mulutnya.
"Berbulan-bulan saya di hospital. Belajar menulis, membaca dan membuka mulut. Saya rasa keliru. Rasa tidak selesa dengan kulit sendiri.
"Saya tak mampu keluar tanpa mengenakan sebarang mekap malah, kanak-kanak juga akan lari selepas melihat wajah saya," katanya.