KELAB Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda) masih berharap kerajaan negeri akan campur tangan membantu Kedah Darul Aman (KDA) FC yang sedang berdepan masalah kewangan.
Dakwaan pemain Sang Kenari yang tidak menerima gaji selama sembilan bulan itu dibimbangi akan memberikan kesan lebih buruk kepada kelab itu pada masa hadapan jika dibiarkan berterusan.
Pengerusi Kepda, Nor Hasmadi Hamzah berkata, penyokong setia KDA FC berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dapat mencari jalan membantu kelab tersebut.
"Kami memohon campur tangan MB Kedah dan Exco Belia Sukan, Muhammad Radhi Mat Din untuk melakukan sesuatu.
"Tak kan nak biar masalah ini terus berlarutan kerana sudah sembilan bulan pemain tidak mendapat gaji kerana mereka juga perlu menyara keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar ini pada Ahad berhubung laporan pemain KDA FC didakwa tidak menerima gaji selama sembilan bulan walaupun beberapa hari lagi tahun 2024 akan melabuh tirai.
Seorang wanita yang dipercayai isteri kepada pemain Kedah, Muhammad Irfan Zakaria menyatakan dakwaan tersebut yang dimuatkan di media sosial sebelum tular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Wanita yang dikenali sebagai Miza Izhar mendakwa suaminya sudah tidak menerima gaji selama dalam tempoh tersebut dan meminta kelab terbabit ditutup jika sudah tidak mempunyai kewangan.
Mengulas lanjut, Nor Hasmadi berkata, jika masalah ini berterusan, mereka bimbang pasukan kesayangan rakyat Kedah ini akan hilang dari radar Liga Super pada musim seterusnya.
Jelasnya, bola sepak merupakan sukan nombor satu di negeri ini dan berharap pengurusan KDA FC dapat mencari jalan bagi menyelesaikan masalah kewangan yang sedang menghimpit kelab itu.
"Kami percaya pengurusan juga sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini.
"Namun jika pada akhirnya masih rasa tidak mampu untuk selesaikannya, sudah tiba masanya untuk jual kepada pihak yang berminat," ujarnya.