KUALA PERLIS - Empat sahabat yang mahu pulang dari memancing ikan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mengalami kerosakan pada bahagian enjin dan hanyut dibawa arus ke Sungai Baru, Perlis kira-kira jam 5.20 petang kelmarin.
Pengarah Zon Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, sebuah bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan operasi menerusi Ops Aman telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi dilakukan selepas menerima aduan melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan telah menjumpai bot terbabit di lokasi 8.1 batu nautika barat daya Sungai Baru, Perlis.
"Dalam kejadian tersebut, bot dinaiki oleh empat orang lelaki yang berumur lingkungan 33 hingga 43 tahun telah mengalami kerosakan pada kotak gear.
"Situasi tersebut bertukar menjadi semakin panik apabila bot yang mereka naiki dipukul ombak sehingga hanyut dibawa arus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurulazme berkata, semua mangsa yang terkandas berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan telah diiring oleh APMM ke jeti Kastam Kuala Perlis.
Jelasnya, Operasi Search And Rescue (SAR) ditamatkan pada jam 9.20 malam.
Sementara itu katanya, pihaknya akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.
Beliau turut meminta orang ramai melaporkan segera maklumat berhubung sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang dikenal pasti berlaku di perairan negeri ini.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi APMM di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.