Dua pasangan suami isteri diberkas edar ganja

Iklan
Noor Azam menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya dalam operasi di Kajang dan Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

KAJANG - Kegiatan pengedaran ganja yang dilakukan dua pasangan suami isteri akhirnya terbongkar apabila mereka diberkas dalam serbuan berasingan di Selangor dan Pulau Pinang.

Operasi yang bermula sejak 11 hingga 14 Februari lalu turut menahan dua lagi suspek lain serta merampas ganja bernilai RM467,900.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, serbuan pertama kira-kira jam 6 petang berjaya menahan seorang lelaki yang menaiki Perodua Axia di Bandar Baru Bangi, Selangor dan merampas satu ketulan mampat ganja seberat 526 gram bernilai RM1,315.

"Susulan itu, pada hari yang sama kira-kira jam 6.30 petang, seorang wanita yang juga isteri kepada suspek diberkas di sebuah rumah di Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Iklan

"Pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui 15 ketulan mampat ganja seberat 15.6 kilogram (kg) dianggar bernilai RM39,000," katanya kepada pemberita di IPD Kajang hari ini.

Noor Azam berkata soal siasat pada 13 Februari menahan seorang lelaki yang juga penuntut sebuah universiti awam di utara tanah air di Sungai Ramal Dalam, Kajang, dengan rampasan 25 ketulan mampat ganja seberat 24.7 kg bernilai RM111,000 di dalam kereta Honda Accord dinaiki suspek.

Iklan

Tambahnya, bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menggempur tiga kediaman di Pulau Pinang pada keesokan harinya.

Noor Azam menunjukkan tempat sorok ketulan ganja dalam sebuah kereta yang ditemui susulan tertangkapnya beberapa individu di Kajang dan Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, polis menahan sepasang suami isteri kira-kira jam 7 pagi di rumah dua tingkat di Ayer Hitam, Georgetown dan merampas 23 ketulan ganja bernilai RM57,500.

"Seorang lagi suspek lelaki yang juga bapa mertua kepada salah seorang pasangan suami isteri terbabit dicekup di Ayer Hitam dan merampas 20 ketulan mampat ganja bernilai RM50,250," katanya.

Noor Azam berkata, suspek terakhir turut membawa kepada serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan rampasan 84 ketulan mampat ganja seberat 83.5 kg bernilai RM208,800 dan sepucuk pistol bersama 13 butir peluru.

Jelasnya, pihaknya percaya sindiket yang aktif sejak lima tahun lalu ini memperoleh bekalan dadah terbabit dari negara jiran.

"Polis telah menyita lima kenderaan iaitu tiga kereta jenis Kia Forte, Perodua Myvi dan Honda Accord dan dua motosikal jenis Yamaha Ego S serta Yamaha Nmax dan wang tunai RM13,000," katanya.

Noor Azam menunjukkan gambar berkaitan serbuan di Ayer Hitam dan Bayan Lepas, Pulau Pinang, 14 Februari lalu.

Tegasnya, kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 57 tahun kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960.

Serbuan dilakukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.