GEORGE TOWN - Kapasiti efektif di dua empangan di bahagian pulau iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang masih belum pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, dalam empat bulan terakhir bagi tahun ini, pihaknya mencatatkan hujan yang ketara di kawasan tadahan air (KTA) di Pulau Pinang.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua empangan di bahagian pulau belum diisi semula sepenuhnya yang mana kapasiti efektifnya masih kurang optimum.
"Kedua-dua empangan ini memberi perkhidmatan kepada 66,378 pengguna air di Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjong Bungah, Tanjong Tokong dan kawasan sekitarnya.
"Dalam tempoh dari 1 September hingga 29 Disember, jumlah hujan yang direkodkan dalam KTA Empangan Air Itam ialah 978 milimeter (mm) manakala Empangan Teluk Bahang ialah 944.5mm," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam pada 31 Ogos lalu ialah 30.8 peratus namun meningkat sebanyak 45.9 peratus menjadikan ia 76.7 peratus pada 29 Disember.
"Sementara bagi Empangan Teluk Bahang, kapasiti efektif pada Ogos ialah 25.8 peratus dan meningkat sebanyak 35.9 peratus menjadikan 61.7 peratus pada Disember," ujarnya.
Jelasnya lagi, kedua-dua empangan itu merupakan empangan harian yang mana air mentah dilepaskan setiap hari untuk menghasilkan air terawat bagi diagihkan kepada pengguna air di kawasan perkhidmatan tertentu.
"Ini bermakna apabila terdapat hujan yang rendah dan permintaan air yang tinggi di kawasan perkhidmatan ini, kapasiti efektif empangan pasti akan merudum.
"Kapasiti efektif kedua-dua empangan adalah rendah pada Ogos disebabkan musim kemarau berpanjangan pada tahun ini yang mempunyai kaitan dengan fenomena El Nino (panas dan kering)," ujar beliau.
Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, penggunaan air di Pulau Pinang adalah tinggi iaitu pada purata 883 juta liter sehari (JLH) pada November lalu.
"Walaupun terdapat hujan yang ketara dalam tempoh empat bulan yang lalu, kapasiti efektif kedua-dua empangan pulau itu belum pulih sepenuhnya," tambahnya.
Beliau berkata, di tanah besar, status Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) agak baik dengan kapasiti efektifnya adalah 91.6 peratus pada 29 Disember.
"Ini bermakna pada ketika ini, terdapat sejumlah besar air yang tersedia dari empangan ini untuk menyokong perkhidmatan bekalan air secara efektif di Seberang Perai serta Barat Daya (kawasan pulau) apabila air mentah tidak mencukupi untuk diabstrak dari Sungai Muda," katanya.
Pathmanathan berkata, laporan cuaca antarabangsa menunjukkan permulaan fenomena ENSO (El Nino Southern Oscillation) neutral atau La Nina ringan (berkemungkinan lebih sejuk dan hujan) akan berlaku pada separuh pertama 2025.
"Sekurang-kurangnya, corak taburan hujan di Pulau Pinang sepatutnya lebih konsisten pada tahun 2025. Diharapkan terdapat sedikit hujan pada April dan Mei.
"Bagaimanapun, PBAPP telah melaksanakan protokol bekalan air cuaca kering untuk memastikan bekalan air mencukupi di Pulau Pinang sejak pertengahan November tahun ini.
"Pada masa yang sama, kami merayu kepada semua pengguna air Pulau Pinang untuk menggunakan air dengan berhemat pada suku pertama 2025," katanya.