KOTA BHARU - Syarat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) ditetapkan oleh Kerajaan Kelantan kepada tujuh kategori perniagaan termasuk restoran makanan berangkai dan francais dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelanggan.
Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak yang mengusahakan restoran ayam goreng secara francais itu berkata, langkah tersebut sangat baik untuk pelanggan mengesahkan makanan mereka adalah suci dan halal.
Menurutnya, dia juga akan berbuat demikian untuk memastikan restoran francais di bawah jenama APFC termasuk yang diusahakan di Kota Bharu memperoleh SPHM.
"Saya orang baharu dalam perniagaan, baru tiga bulan menjual ayam goreng.
Amir mengulas, permohonan SPHM tersebut akan dibuat mulai tahun depan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.
"Ketika ini, sumber ayam halal APFC diperoleh daripada syarikat pembekal ayam APFC ini sendiri,” katanya.
Sementara itu, pengusaha restoran ayam goreng tempatan popular dari Kelantan, Eddlee Fried Chicken, Eddlee Ismail berkata, pihaknya sudah memulakan permohonan SPHM di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak dua minggu lalu.
Kata pemilik restoran berangkai itu juga, pihaknya turut berhubung baik dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) yang berkerjasama memberikan panduan untuk mendapatkan SPHM.
"Di pihak kami, Eddlee Fried Chicken sendiri berbesar hati untuk menambah baik setiap cara kerja dan aspek-aspek pemprosesan ayam goreng yang terbaik sehingga mencapai tahap untuk mendapatkan sijil halal.
"Sijil halal ini sendiri memberi kelebihan kepada peniaga untuk memiliki premis makanan terbaik yang mematuhi standard halal yang ditetapkan,” katanya.
Tambah Eddlee, terdapat 15 rangkaian restoran Eddlee Fried Chicken di Kota Bharu yang menggunakan 700 ekor ayam setiap hari untuk disajikan kepada pelanggan.