Tiga pasukan dari Thailand sertai Treasure Hunt TMK 2025

Iklan
Mohd Salleh (lima dari kiri) bersama peserta dari Thailand yang mengambil bahagian dalam Experience Kedah: Influencer & Media Treasure Hunt.

ALOR SETAR - Tiga pasukan dari Thailand antara 22 kumpulan berentap dalam Treasure Hunt anjuran Kedah Tourism membabitkan pempengaruh dan petugas media sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, penglibatan pempengaruh media sosial dan petugas media itu adalah tulang belakang dalam usaha mempromosikan Negeri Jelapang Padi itu bagi menarik lebih ramai pengunjung menjayakan TMK 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri Kedah mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang buat kesemua peserta terutama mereka yang datang dari luar daerah.

Peserta melaksanakan tugasan swafoto dan perlu memuat naik ke media sosial apabila sampai ke destinasi menarik yang ditetapkan.

"Dalam perjalanan untuk TMK beberapa hari sahaja lagi, sudah tentu kerajaan negeri mengharapkan kerjasama erat semua pihak terutama sahabat media dan 'influencer'.

Iklan

"Pada hari ini kita tidak dapat menafikan peranan media dan influencer amat signifikan kepada landskap promosi pelancongan, sesungguhnya anda adalah jambatan utama menyampaikan maklumat kepada khalayak.

"Idea yang dihasilkan melalui foto, video dan hantaran di media sosial itu bukan sahaja menunjukkan keindahan dan keunikan Kedah tetapi turut mencetus rasa minat dan keterujaan orang ramai mai ke Negeri Kedah,"katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa acara penutup Experience Kedah: Influencer & Media Treasure Hunt di Hotel Raia, di sini pada Ahad.

Jelasnya, bagi pihak kerajaan negeri, beliau mengucapkan terima kasih atas usaha membantu mempromosikan Kedah selama ini.

"Permintaan saya sempena TMK 2025, saya ingin ajak semua terus beri kerjasama menyokong hasrat merancakkan pelancongan sekali gus meletakkan sektor ini kepada aras baharu.

"Ayuh guna kelebihan yang ada untuk buat content (pengisian) apabila orang tengok mengenai keindahan, keunikan, mencakupi sejarah, seni budaya, alam semula jadi dan kemesraan rakyatnya, jadi tertarik.

"Saya mohon bantulah kami mempromosikan negeri Kedah agar lebih ramai pelancong datang...mudah mudahan ini adalah sebahagian daripada langkah jihad kita semua,"ujarnya.

Mohd Salleh (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Treasure Hunt yang bermula jam 6.30 pagi di Hotel Park Avenue, Sungai Petani perlu berhenti seketika di beberapa lokasi bagi mencari jawapan antaranya ke Titi Semeling yang menempatkan beberapa galeri mengenai biodiversiti, Tapak Tamadun Awal Sungai Batu, Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Muzium Padi sebelum tamat dalam tempoh sembilan jam 30 minit di Hotel Raia Alor Setar.

Sepanjang tempoh itu, peserta turut diarahkan singgah ke beberapa lokasi tumpuan bagi menyelesaikan tugasan swafoto dan video yang perlu dimuat naik ke media sosial seperti di Masjid Haji Nyak Gam, Pantai Murni, Istana Anak Bukit, Masjid Zahir dan Dataran Medan Bandar Alor Setar.

Dalam majlis berkenaan, Mohd Salleh turut menyampaikan hadiah kepada johan iaitu pasukan Selipar Hanguih yang membawa pulang wang tunai RM1,000.

Sementara itu, petugas media yang terdiri daripada ahli Kelab Media Elit Kedah, memenangi tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM500.