Musibah sama dalam tempoh 20 tahun

Iklan
Kawasan parkir dan jalan di belakang masjid rosak teruk selepas diterjah air laju pada Ahad.

TANAH MERAH - Pekarangan Masjid Haji Abdullah Mukim Panglima Bayu di sini mengalami kerosakan teruk selepas lapan jam diterjah arus deras dalam kejadian pada Ahad.

Imam masjid berkenaan, Adli Ab Halim berkata, kerosakan yang dialami bukan sahaja dua kali ganda daripada musibah banjir akhir November lalu malah kejadian kedua dalam tempoh 20 tahun.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat seharian yang menyebabkan laluan utama dari Tanah Merah ke Jeli digenangi air.

"Air yang melimpahi jalan menerjah laju ke pekarangan masjid kira-kira jam 3 petang mengakibatkan banyak kerosakan berlaku di kawasan parkir dan halaman belakang yang menjadi lokasi jemaah melaksanakan aktiviti.

Iklan

"Air deras seolah-olah kepala air turut merosakkan kemudahan dan landskap termasuk kerusi, meja rehat dan pasu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya lagi, susulan itu juga penduduk setempat tidak dapat melaksanakan solat asar berjemaah.

Iklan

Jalan di hadapan masjid dinaiki air sehingga 0.4 meter mengakibatkan beberapa kereta rosak dan terpaksa ditolak ke tepi jalan.

Adli memberitahu, hasil mesyuarat bersama ahli jawatankuasa masjid dan dimaklumkan nilai keseluruhan kerosakan lebih RM20,000.

Bagaimanapun katanya, anggaran kos mungkin lebih tinggi tinggi kerana ada beberapa kemudahan yang perlu dibaik pulih.

Jelasnya lagi, buat masa ini pihak pengurusan masjid tidak mampu mengeluarkan kos itu dan akan membuat permohonan dengan pihak tertentu.

"Buat masa ini akaun masjid tidak mencukupi untuk melaksanakan pembaikan segera dan kami berharap ada pihak boleh menyalurkan sumbangan," katanya.

Dimaklumkan juga masjid berusia lebih 60 tahun itu menjadi persinggahan ramai jemaah dari utara ke Kota Bharu atau sebaliknya.