KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) masih menjalankan siasatan berhubung video tular sekumpulan individu didakwa berzikir secara pelik di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Ibukota di sini.
"Kita tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga siasatan selesai dijalankan termasuk dakwaan ia dilakukan di kubur seorang guru tarekat yang meninggal dunia," ujar pihak berkuasa agama itu ketika dihubungi pada Isnin.
Sementara itu, pihak pengurusan Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Ibukota bertindak 'mengunci mulut' dan enggan mengulas mengenai dakwaan ia adalah kubur seorang guru tarekat seperti dilaporkan sebuah portal berita.
Terdahulu menurut laporan portal berita berkenaan, kubur itu adalah kubur seorang guru tarekat yang meninggal dunia, ia didedahkan penduduk berdekatan tanah perkuburan tersebut daripada hasil pemerhatiannya yang menziarahi kubur arwah isterinya di situ.
Pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar meminta sesiapa ada maklumat mengenai perkara itu menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Ujarnya, maklumat berkaitan kejadian berkenaan boleh membantu siasatan yang akan dijalankan.
Memohon semua pihak menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa agama, beliau turut menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
Rakaman video yang tular itu pada mulanya dimuat naik oleh pengguna Facebook dengan nama Rizuwan Rosly yang turut meluahkan kerisauan apabila melihat sekumpulan individu melakukan aktiviti mencurigakan di tanah perkuburan itu.
Namun, rakaman video asal berkenaan yang mendapat pelbagai maklum balas dari kalangan warganet, sudah dipadamkan oleh pemilik Facebook terbabit.