RANTAU PANJANG - Penduduk Kampung Lubok Setol dan Kampung Rahmat di sini tetap berwaspada menghadapi banjir berikutan paras air masih bertahan di pekarangan rumah mereka walaupun cuaca panas.
Ketika tinjuan Sinar Harian di sepanjang jalan berkenaan, penduduk mendakwa air naik perlahan di kawasan rumah mereka susulan limpahan Sungai Golok.
Peniaga, Nor Azizon Hasan, 52, berkata, paras air di pekarangan rumahnya masih bertahan dan berharap tidak hujan kerana boleh menyebabkan air naik mendadak.
"Hujan lebat bermula Sabtu mengakibatkan banjir setinggi 0.4 meter dan kini masih tiada tanda untuk pulih," katanya.
Nor Azizon mengakui banjir kali ini lebih teruk berbanding tahun 2014 dan sentiasa mengikuti maklumat terkini untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga.
Sementara itu, penjawat awam, Umi Alya Noor Azman, 27, berkata, air naik di pekarangan kediamannya awal pagi Isnin mencecah 0.5 meter.
Jelasnya, walaupun kawasan berkenaan selalu dinaiki air namun tahun ini berlaku banjir di luar jangka menyebabkan penduduk sentiasa berwaspada dan mendengar amaran banjir.
"Air semakin naik tetapi tidak mendadak kerana tiada hujan selain keadaan cuaca juga panas.
"Kami berharap cuaca semakin baik selepas terpaksa mengemas rumah dan berpindah ketika musibah pada akhir November lalu," katanya.
Peniaga barangan runcit, Sailawati Ali, 50, pula memberitahu, dia sudah membuat persiapan awal kerana kawasan rumahnya turut dinaiki air awal pagi Isnin.
"Setiap tahun kawasan ini dilanda banjir dan saya sekeluarga pasti akan berlindung di PPS," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan tiada hujan pada Isnin di negeri ini namun hujan di beberapa tempat bermula Selasa hingga Ahad.