APABILA seseorang meninggal dunia, pembahagian harta pusaka perlu dilakukan segera agar penerima yang sepatutnya mendapatkan bahagian masing-masing tanpa dinafikan hak.
Sebab itulah kisah isteri ‘dibekukan’ guna harta arwah suaminya, kes perebutan pusaka dan sebagainya sering kedengaran.
Dalam kes melibatkan isteri yang kematian suami, adakah pemberian suami seperti barang kemas dan hadiah-hadiah lain kepadanya juga perlu ‘difaraidkan’?
Menerusi perkongsian pendakwah Ustaz Azhar Idrus, beliau menjelaskan, faraid hanya melibatkan harta at-Tarikah iaitu peninggalan si mati.
"Ini bermakna, harta itu adalah milik si mati sebelum dia meninggal. Apabila sudah mati, ia menjadi harta peninggalan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya pada Ahad.
"Ini kerana suami sudah berikan kepada isterinya. Maka (harta itu) tidak (termasuk sebagai) at-Tarikah. Maka ia tidak difaraidkan,” tegasnya.
Malangnya, ujar agamawan itu, masih ada lagi sebilangan orang yang kurang jelas mengenainya hinggakan gelang pemberian si mati kepada balunya turut dituntut untuk dimasukkan sebagai pembahagian harta pusaka.
"Padahal ia sudah menjadi haknya (balu si mati). Maka, haram (hukumnya berbuat demikian), kena hantar balik (pulangkan semula).
"Sudah makan (harta) haram, sembahyang tak diterima (jika tidak bertaubat). Jangan main-main hal ini dan jangan ambil hak orang,” tegasnya.
Sama juga halnya apabila seorang anak memberikan sesuatu contohnya barang kemas kepada ibunya.
"Anak itu makan harta haram walaupun dia yang beli, tetapi sudah diberikan kepada emaknya. Jangan buat perangai begitu.
"Ingatlah, yang boleh (kita) ambil semula hanyalah bila (kita) beri pinjam,” tegasnya.