Anwar beri penghormatan kepada bekas Presiden AS, Jimmy Carter

Iklan
Anwar hari ini memberikan penghormatan kepada Carter yang meninggal dunia pada usia 100 tahun, semalam. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan penghormatan kepada bekas Presiden AS, Jimmy Carter yang meninggal dunia pada usia 100 tahun, semalam.

"Saya menyertai rakan-rakan pemimpin bersedih atas kehilangan bekas Presiden AS, Jimmy Carter dan meraikan perkhidmatan beliau yang luar biasa terhadap kemanusiaan dan negaranya.

Iklan
Iklan

"Pada pandangan saya, apa yang paling menyerlah ialah mengenai kesediaan beliau menentang pemikiran konvensional elitis politik Amerika mengenai perkara yang paling penting dalam peperangan dan keamanan, sama ada ia mengenai dialog dengan Cuba, memperjuangkan penghapusan senjata nuklear di Semenanjung Korea, atau mengecam pencerobohan Iraq pada 2003,” kata Anwar dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Anwar berkata, beliau juga percaya tiada siapa yang akan menidakkan keberanian presiden Amerika Syarikat ke-39 itu, yang meletakkan prinsip lebih daripada politik dalam isu Palestin.

Iklan

Beliau berkata, Carter dengan dedikasinya melawan pandangan politik Amerika dengan melabelkan perbuatan Israel di Palestin sebagai apartheid, lama sebelum yang lain menyuarakannya.

"Beliau menahan kritikan daripada lobi pro-Israel dengan dedikasinya memperjuangkan penyelesaian dua negara. Hingga ke akhirnya, beliau tetap teguh, tidak menyerah kalah, demi keamanan dan keadilan.

Iklan

"Masyarakat Amerika sering menyatakan bahawa mereka tidak menghasilkannya seperti sebelum ini’. Perkara ini tepat sekali jika bercakap mengenai Carter,” kata Perdana Menteri. - Bernama