KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza sedang disiasat pihak polis di negeri ini bukannya ditahan reman.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sekali gus menafikan dakwaan Borneo Komrad bahawa aktivis tersebut ditahan reman.
"Betul, tapi belum direman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, dalam hantaran aktivis itu turut mengesahkan bahawa dia telah dihubungi pihak polis.
"Polis dah roger! Dalam perjalanan ke balai untuk disoal siasat polis KK (Kota Kinabalu) berkaitan posting (hantaran) Facebook pasal poster Koruptor No 1 Sabah yang aku tampal di KK.
"Rasanya ada lebih 10 laporan polis dibuat terhadap aku.
"Aku disiasat bawah S4(1) Akta Hasutan, Akta Sakit Hati (S233 AKMM) dan S504 KK (Seksyen 504 Kanun Keseksaan)," katanya.
"Kalau aku tak update sebelum jam 8pm maknanya aku akan tidur lokap malam ni," kongsinya sambil meletakkan tanda pagar berkaitan rasuah di Sabah dan seni sebagai senjata.
Fahmi turut mengingatkan rakyat ada hak untuk menolak daripada menjawab soalan pihak polis.
Menerusi hantaran di Facebook Borneo Komrad pula menggesa supaya Fahmi dibebaskan manakala perasuah perlu ditangkap.
"Sebentar tadi Fahmi Reza telah direman di IPD Penampang. Ini sebuah intimidasi kepada hak kebebasan bersuara sebagai rakyat Malaysia.
"Ini jelas sebuah usaha untuk menakut-nakut kebangkitan rakyat Sabah. Ini kesilapan terbesar penguasa. Rakyat di bawah semakin ditekan semakin melawan!" katanya.