SEOUL - Berlaku lonjakan pembatalan pakej pelancongan dan tiket penerbangan pada Isnin ketika kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan meningkat selepas nahas maut melibatkan pesawat yang meragut 179 nyawa, lapor Agensi Berita Yonhap memetik sumber industri.
Jeju Air Co. mendedahkan bahawa sebanyak 68,000 tempahan penerbangan telah dibatalkan setakat 1 tengah hari.
Daripada jumlah itu, lebih 33,000 pembatalan melibatkan penerbangan domestik manakala 34,000 lagi adalah untuk laluan antarabangsa.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa kebanyakan pembatalan berlaku selepas 9 pagi Ahad, susulan nahas penerbangan 7C2216 di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, daerah Muan, yang membawa 181 orang.
Agensi pelancongan tempatan turut melaporkan peningkatan mendadak dalam pembatalan pakej pelancongan selepas tragedi itu. Banyak agensi kini menghentikan iklan di televisyen dan platform dalam talian serta kempen promosi mereka.
"Kami menerima kira-kira 40 pertanyaan berkaitan pembatalan perjalanan pada Ahad sahaja,” kata seorang ejen pelancongan yang enggan dikenali.
"Kami menyaksikan jumlah pembatalan meningkat dua kali ganda daripada biasa dan penurunan tempahan sebanyak 50 peratus.”
Sumber industri menyatakan bahawa sektor pelancongan sedang memantau situasi ini dengan teliti, menjangkakan kesan berterusan apabila kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan penerbangan terus meningkat. - Bernama