KOTA BHARU - Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan tahanan lelaki yang meninggal dunia di dalam lokap Balai Polis Pengkalan Chepa sebagai mati mengejut.
Beliau memberitahu, lelaki itu ditahan kira-kira jam 12.30 petang pada Selasa dan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya.
Menurut beliau, pada keesokannya, kira-kira jam 9.14 pagi, lelaki itu dibawa ke mahkamah Kota Bharu untuk permohonan reman.
"Mahkamah membenarkan lelaki terbabit direman selama empat hari bermula Rabu Disember hingga Isnin (hari ini)," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun jelas beliau, pada Isnin kira-kira jam 7 pagi, anggota bertugas di Balai Polis Pengkalan Chepa mendapat orang kena tahan (OKT) itu tidak sedarkan diri.
"OKT disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.40 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan dar Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa," katanya.
Jelas beliau, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan sehingga selesai bedah siasat.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini," katanya.