SHAH ALAM - Seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) tambahan telah ditempatkan bagi mengatasi isu ketiadaan staf susulan ditamatkan kontrak yang dipercayai berlaku di sebuah klinik kesihatan di Tuaran, Sabah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penambahan itu bagi memastikan jadual atas panggilan di klinik-klinik masih dapat digerakkan dan tidak terjejas.
"Perkara ini tidak wajar berlaku, di mana pegawai yang telah ditugaskan tidak menjalankan tugas seperti diarah demi kemaslahatan awam.
"Namun begitu, ini tidak menjejaskan operasi atas panggilan atau operasi harian kerana pegawai perubatan, jururawat, PPP lain dan pemandu turut bertugas sepanjang tempoh yang dimaksudkan,” katanya dalam hantaran di X pada Isnin.
Sebuah hantaran pada Ahad tular di media sosial menunjukkan papan notis di sebuah klinik kesihatan negeri yang memaklumkan tidak ada pegawai bertugas sejak Isnin minggu lalu susulan masalah kekurangan staf kerana telah ditamatkan kontrak.
Dr Dzulkefly turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membawa isu berkenaan kepada pengetahuannya.
Ujar beliau, pada masa sama, staf yang bertugas atas panggilan seperti pegawai perubatan, jururawat dan pemandu turut disokong oleh perkhidmatan kecemasan yang juga sentiasa boleh diakses melalui MERS999.
"Perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk perkhidmatan kecemasan melalui MERS999, sentiasa disediakan untuk mereka yang memerlukan,” ujarnya.