Laporan rasmi permudahkan penyelesaian kes segera - AFL

Iklan
Laporan Sukan Sinar sebelum ini. Gambar kecil: Mohd Raimi Fakri

LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) mahu jurulatih dan pemain kelab Liga A1 Semi Pro yang berdepan masalah tunggakan gaji supaya tampil membuat aduan secara rasmi kepada pihak berwajib.

Jelas Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, sebarang tindakan susulan sukar untuk dilaksanakan sekiranya tiada aduan rasmi daripada jurulatih atau pemain kelab.

Iklan
Iklan

"Isu berkaitan dengan tunggakan gaji aduan rasmi akan terus kepada Bahagian Undang-undang FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

"Sekiranya aduan rasmi dibuat, proses tuntutan akan dimulakan di bawah kendalian sekretariat FAM. Ianya merupakan saluran atau tatacara yang tepat bagi para pemain dan pegawai yang terlibat memfailkan tuntutan mereka.

Iklan

"Jadi apabila tiada aduan rasmi, adalah amat sukar untuk AFL mengesahkan adanya isu tunggakan gaji sesebuah pasukan kerana tiada sebarang rekod seperti jumlah tunggakan atau individu dalam pasukan yang terlibat.

"Malah aduan atau tuntutan rasmi ini juga penting sebagai rujukan kepada AFL untuk menjalankan saringan bagi penyertaan pasukan di musim akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Sebelum ini, pengendali Kuala Lumpur (KL) Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail tampil membuat laporan rasmi terhadap kemelut membelenggu kelab Liga A1 Semi Pro berkenaan.

Jelas Wan Mustaffa, laporan dikemukakan kepada Bahagian Undang-undang FAM, AFL dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Mengulas lanjut, Mohd Raimi berharap pendekatan diambil Wan Mustaffa akan dicontohi pemain-pemain supaya masalah mereka akan dikendalikan secara lebih baik.

"Sebenarnya, laporan rasmi penting bagi membolehkan jurulatih dan pemain-pemain mendapatkan semula hak masing-masing mengikut proses tuntutan.

"Laporan rasmi juga memerlukan pengadu menyertakan dokumen-dokumen rasmi seperti kontrak dan yang berkaitan kepada FAM.

"Pada pihak AFL pula, laporan isu tunggakan gaji atau sebagainya ini penting sebagai rujukan butiran-butiran kelab untuk semakan permohonan kelab bagi saingan musim depan,” katanya.

Sementara itu, di peringkat AFL pula kata Mohd Raimi, pihaknya akan memaklumkan kepada pengurusan kelab terlibat berkenaan tuntutan daripada jurulatih dan pemain tersebut.

"Kami akan berkomunikasi dengan pengurusan pasukan menyarankan supaya isu berkenaan dapat diselesaikan segera.

"Dan sudah pastinya, kami sebagai pengendali Liga A1 Semi Pro tidak mahu isu yang melanda ini akan menjejaskan kelancaran perjalanan saingan liga.

"Alhamdulillah, sehingga hari ini perjalanan liga berjalan lancar apabila jurulatih dan pemain mempamerkan sikap profesional,” katanya.