NOTTINGHAM - Pada akhir 2019, dunia digemparkan dengan kemunculan Covid-19 yang meragut jutaan nyawa dan negara antarabangsa mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk pulih sepenuhnya.
Menjelang ketibaan tahun baharu 2025, banyak pihak mula bimbang dengan penularan penyakit berjangkit baharu yang mungkin disebabkan oleh virus, bakteria, kulat atau parasit.
Tiga penyakit yang mengundang resah kepada pihak berkuasa kesihatan ialah malaria (parasit), HIV (virus) dan batuk kering (bakteria) yang telah membunuh kira-kira dua juta individu pada setiap tahun.
Selain itu, terdapat juga senarai pantauan patogen keutamaan terutamanya yang ‘kebal’ terhadap ubat-ubatan digunakan untuk rawatan seperti antibiotik dan antiviral.
Saintis juga sentiasa siap siaga menghadapi wabak berpotensi seterusnya yang boleh disebabkan pelbagai bentuk patogen dan wabak yang boleh menular dengan cepat seperti virus influenza.
Satu virus influenza telah mencetuskan kebimbangan utama ketika ini kerana dilihat berisiko menjadi masalah serius pada 2025.
Ia ialah influenza A, subjenis H5N1 yang dirujuk sebagai selesema burung.
Virus tersebut menular secara meluas dan menjangkiti lembu tenusu di beberapa negeri Amerika Syarikat (AS) malah menyerang kuda di Mongolia.
Sebelum ini pakar memberi jaminan risiko ia merebak kepada manusia adalah rendah meskipun sebanyak 61 kes sudah dilaporkan di Washington sepanjang 2024 dan sebahagian besar daripadanya melibatkan kontak rapat antara pekerja ladang ternakan serta haiwan dijangkiti.
Kira-kira dua tahun lalu, hanya dua kes direkodkan di AS dan pada tahun ini menyaksikan peningkatan yang agak besar dengan kadar kematian 30 peratus daripada jangkitan manusia.
Kajian sebelum ini mendapati H5N1 tidak berjangkit dari manusia kepada manusia, sekali gus menjadikan ia agak mustahil untuk mencetuskan pandemik.
Bagaimanapun, penyelidikan terbaharu menunjukkan mutasi tunggal dalam genom selesema burung berisiko menjadikan H5N1 merebak dalam kalangan manusia dan kemudiannya mencetuskan wabak.
Pelan persediaan
Sebagai langkah persediaan awal, pusat untuk kawalan penyakit berjangkit di seluruh dunia dikatakan telah merangka pelan persediaan untuk menghadapi ancaman selesema burung dan ancaman penyakit lain pada masa akan datang.
Britain antara negara yang telah mendapatkan kira-kira lima juta dos vaksin H5 yang boleh memberi perlindungan terhadap selesema burung.
Meskipun ancaman terhadap manusia masih rendah, selesema burung dijangka menjejaskan kesihatan haiwan selain mengancam rangkaian bekalan makanan dan memberi kesan kepada ekonomi.
Hal itu kerana ia terletak di bawah ‘payung’ yang sama iaitu kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar sebagai entiti yang saling berkaitan serta mempunyai kepentingan bersama.
Dengan pemahaman lebih jelas dan langkah awal mencegah penularan penyakit dapat memerangi kemunculan wabak baharu pada masa akan datang.
Ketika ini perhatian serius juga perlu diberikan terhadap ‘pandemik perlahan’ seperti malaria, HIV, batuk kering dan patogen lain semasa pihak berkuasa sedang mengawasi potensi wabak selesema burung yang mungkin menjadi seperti Covid-19. - Agensi