Bayi 20 hari meninggal dunia akibat kesejukan melampau

Iklan
Yahya al-Batran ditenangkan ahli keluarganya selepas kehilangan Jumaat.

GENTING GAZA - Bayi berusia 20 hari meninggal dunia akibat kesejukan melampau yang sedang mencengkam Genting Gaza.

Kementerian Kesihatan di Gaza mengesahkan kematian Jumaa al-Batran akibat hipotermia, manakala kembarnya masih ditempatkan di unit rawatan intensif di sebuah hospital.

Iklan
Iklan

"Ia menjadikan jumlah kematian kanak-kanak akibat cuaca sejuk meningkat kepada lima orang,” kata ketua hospital lapangan di wilayah itu, Marwan al-Hamas.

Sementara itu, bapa bayi tersebut, Yahya al-Batran turut berkongsi kisah sedih mereka yang terpaksa tinggal di bawah khemah serba daif di Deir al-Balah di tengah Gaza.

Iklan

"Tiada bekalan elektrik, air juga terlalu sejuk. Saya melihat sendiri bagaimana anak saya bertarung nyawa dan tiada siapa ambil peduli.

"Saya bimbang kembarnya, Ali juga akan menerima nasib sama,” katanya dalam nada sebak.

Iklan

Ratusan ribu penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal terpaksa bersesak di ‘bandar khemah’ di kawasan Khan Yunis dan Rafah di selatan enklaf berkenaan.

Pada Ahad, rejim Zionis sekali lagi mengarahkan pemindahan paksa ke atas penduduk di Beit Hanoun setelah kempen pengeboman terus diperhebatkan di utara Gaza selepas ia dilancarkan kira-kira tiga bulan lalu.

Penduduk Palestin yang berlindung di Beit Hanoun sekali lagi diarah berpindah oleh rejim Zionis.

Arahan tersebut telah mencetuskan gelombang baharu perpindahan di tengah-tengah musim sejuk.

Ketika ini sebahagian besar kawasan di bandar Beit Hanoun, Jabalia dan Beit Lahiya telah ‘dibersihkan’, sekali gus mencetuskan spekulasi tentang rancangan jahat Israel untuk menubuhkan zon penampan tertutup setelah peperangan di Gaza berakhir.

Selain itu, Zionis terus menyasarkan kemudahan kesihatan atas alasan untuk menggempur markas Hamas tanpa menghiraukan kecaman komuniti antarabangsa.

Hospital Kamal Adwan digempur pada Jumaat lalu selepas didakwa menjadi 'kubu kuat' Hamas.

Ketika ini desakan semakin meningkat untuk menuntut pembebasan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya yang ditahan pihak berkuasa Israel pada Jumaat lalu selepas beliau dengan berani menentang pencerobohan Zionis ke atas kompleks berkenaan yang menjadi kemudahan terakhir masih beroperasi.

Kira-kira 240 kakitangan lain turut ‘diculik’ setelah Zionis mendakwa hospital itu digunakan sebagai ‘kubu kuat’ gerakan Hamas hingga memaksa pemindahan pesakit termasuk mereka yang kritikal di Hospital Indonesia di Beit Lahiya. - Agensi