SHAH ALAM - Masyarakat perlu didedahkan dan dididik tentang adab-adab ziarah kubur bagi mengelakkan amalan yang mencurigakan di kawasan tanah perkuburan.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin menekankan bahawa pentingnya pendidikan dan kesedaran dalam menghindari amalan-amalan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Menurutnya, Nabi Muhammad SAW menganjurkan umatnya untuk menziarahi kubur sebagai peringatan tentang kematian dan kehidupan akhirat.
"Ziarah kubur sepatutnya menjadi satu keinsafan pada diri kita, menimbulkan rasa tunduk kepada ALLAH SWT dan mengingatkan bahawa kehidupan di dunia ini sementara sahaja.
"Sehubungan itu, ziarah kubur bukanlah untuk melakukan upacara pelik atau pemujaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya, antara sebab berlaku aktiviti mencurigakan di tanah perkuburan adalah disebabkan kurangnya pendidikan, ketidakfahaman terhadap adab ziarah kubur dan sebagainya ataupun berkemungkinan ajaran sesat.
"Para asatizah dan ilmuan memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat mengenai adab ziarah kubur,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar masjid dan surau memperketat pengawasan di kawasan perkuburan dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa agama.