Bersedia hadapi cabaran mendatang

Iklan
Gambar hiasan 123RF

TAHUN 2025 dijangka membawa cabaran baharu, termasuk pertumbuhan ekonomi yang sederhana, peningkatan kos sara hidup dan isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan.

Dalam konteks ini, persediaan menyeluruh dari segi mental, fizikal, dan kewangan adalah penting untuk memastikan kesejahteraan individu dan keluarga.

Iklan
Iklan

Data terkini menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental di Malaysia. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, dianggarkan sejuta rakyat Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.

Oleh itu, membina daya tahan emosi melalui sokongan sosial, meditasi dan pembelajaran berterusan adalah langkah penting untuk menghadapi tekanan yang mungkin timbul.

Iklan

Selain itu, kesihatan fizikal turut memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran harian. Amalan gaya hidup sihat, termasuk senaman berkala dan pemakanan seimbang dapat meningkatkan daya tahan tubuh.

Menurut NHMS 2023, 95.1 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil makanan berserat mengikut saranan Kementerian Kesihatan.

Iklan

Ini menunjukkan keperluan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat dan pemeriksaan kesihatan berkala juga penting untuk mengesan sebarang masalah kesihatan pada peringkat awal.

Dari segi kewangan, jangkaan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2025 adalah sederhana, dengan anggaran pertumbuhan sekitar 4.4 peratus.

Selain itu, kerajaan merancang untuk memperluas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta mengurangkan subsidi dalam usaha meningkatkan pendapatan negara.

Langkah itu mungkin meningkatkan kos sara hidup dan perlunya kita menekankan kepentingan perancangan kewangan yang rapi.

Amalan menabung, penyediaan dana kecemasan dan pelaburan bijak dalam instrumen kewangan yang selamat adalah strategi yang disarankan untuk memastikan kestabilan kewangan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Secara keseluruhan, persediaan yang komprehensif merangkumi aspek mental, fizikal dan kewangan adalah kunci untuk menghadapi cabaran tahun 2025 dengan lebih yakin.

Dengan ketahanan emosi, kesihatan fizikal yang baik dan pengurusan kewangan bijak, individu dapat menavigasi persekitaran berubah-ubah dan memanfaatkan peluang yang muncul.