Bapa lupa hantar anak ke taska

Iklan
Laporan bayi berusia 9 bulan ditemui mati di dalam kereta bapanya di parkir Komtur Indera Mahkota hari ini.

KUANTAN - Bapa bayi yang ditemui mati dalam kereta dikatakan lupa untuk menghantar anaknya ke taska sebelum ditinggalkannya selama empat jam di parkir Kompleks Tun Abdul Razak (Komtur) Indera Mahkota di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil berusia 9 bulan itu hanya disedari terbaring di dalam kenderaan berkenaan ketika bapanya, 38, hendak keluar makan kira-kira jam 1 tengah hari.

Iklan
Iklan
Kereta yang diletakkan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtur) Indera Mahkota.

"Berdasarkan siasatan awal, pada jam 7.20 pagi bapa mangsa keluar menghantar anak sulung berusia 10 tahun ke sebuah sekolah di Kampung Chendering, Paya Besar sebelum balik semula ke rumah untuk mengambil isteri berusiaa 39 tahun, anak kedua berumur 6 tahun dan juga mangsa.

"Pada jam 8.25 pagi bapa mangsa hantar pula anak kedua ke sekolah yang sama seterusnya menghantar isteri ke tempat kerja di Indera Mahkota sebelum ke tempat kerjanya di Pejabat Jabatan Kerja Raya yang terletak di Komtur," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Iklan

Menurutnya, bayi itu sepatutnya dihantar ke sebuah taska di Indera Mahkota 15 tetapi bapanya itu terlupa dan mangsa dianggarkan ditinggalkan sendirian di dalam kereta tersebut dari jam 9 pagi.

Bapa mangsa mendukung jenazah keluar dari Unit Forensik HTAA kira kira jam 7.30 malam.

"Mangsa pada awalnya dibawa ke Klinik Kesihatan Indera Mahkota dan disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan terperinci akan dijalankan dengan mengambil kira semua aspek termasuk salah laku jenayah atau kecuaian," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di Jabatan Perubatan Forensik Hospital HTAA mendapati Pengarah JKR Pahang, Datuk Othman Nordin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Datuk Tajuddin Mohd Yunus turut menziarahi keluarga mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi ditemui mati dalam kereta