NEW YORK - Mahkamah Rayuan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengekalkan keputusan juri yang mendapati Donald Trump telah melakukan serangan seksual terhadap penulis, E Jean Carroll dan menolak permohonan Presiden AS yang terpilih itu untuk perbicaraan semula.
Trump mencabar keputusan sivil bernilai AS$5 juta itu dengan mendakwa hakim perbicaraan melakukan banyak kesilapan termasuk membenarkan keterangan daripada dua wanita lain yang mendakwa Trump telah menyerang mereka secara seksual.
Mahkamah rayuan mendapati hakim perbicaraan tidak menyalahgunakan budi bicara dalam memutuskan bukti.
Sekalipun terdapat sebarang kesilapan, mahkamah berkata, kekuatan kes Carroll meyakinkan bahawa hak-hak Trump tidak terjejas sehingga wajar diadakan perbicaraan semula.
"Kedua-dua E. Jean Carroll dan saya merasa bersyukur dengan keputusan hari ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Rayuan atas pertimbangan teliti terhadap hujah kedua-dua pihak,” kata Roberta Kaplan, peguam Carroll.
Satu juri lain sebelum ini telah memberikan pampasan sebanyak AS$83.3 juta kepada Carroll yang kini berusia 81 tahun selepas mendapati Trump, 78, memfitnahnya dengan menafikan serangan seksual tersebut.
Trump juga telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Carroll mendakwa Trump merogolnya di gedung Bergdorf Goodman dan kemudiannya memfitnahnya dengan menafikan dakwaan itu serta mendakwa, dia (Carroll)"bukan jenis saya” dan mengatakan Carroll mereka cerita tersebut untuk menjual bukunya.
Trump menafikan semua salah laku itu. Dia tidak berdepan hukuman penjara hasil daripada keputusan sivil tersebut.
Walaupun juri mendapati Trump bersalah melakukan serangan seksual terhadap Carroll, cukup untuk membuatnya bertanggungjawab atas tuduhan sentuhan fizikal, mereka tidak mendapati Carroll membuktikan bahawa dia telah dirogol.
Carroll memfailkan tuntutan mahkamah tahun lalu di bawah"Akta Mangsa Dewasa Negeri New York," satu undang-undang negeri yang membuka ruang semula bagi dakwaan serangan seksual seperti kes Carroll walaupun statut batasannya telah lama tamat.
Dalam perkembangan sama, Steven Cheung yang juga jurucakap utama Trump dan pengarah komunikasi White House akan datang berkata, lebih banyak rayuan akan dibuat.
"Rakyat Amerika telah memilih semula Presiden Trump dengan mandat besar dan mereka menuntut penamatan segera terhadap penyalahgunaan politik dalam sistem keadilan kita serta pembatalan segera terhadap semua pendakwaan tidak berasas termasuk kes ‘Carroll Hoax’ yang dibiayai Demokrat.
"Rayuan akan terus diteruskan. Kami menantikan penyatuan negara ini di bawah pentadbiran baharu semasa Presiden Trump mengembalikan keagungan Amerika,” kata Cheung. - Agensi