KUALA LUMPUR - Kegiatan kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sesuka hati meminta wang kepada setiap pemandu yang hendak meletakkan kenderaan di sekitar ibu negara ditumpaskan pada Isnin.
Kegiatan 'ulat' parkir itu dipercayai mengenakan caj sekitar RM5 hingga RM10 untuk setiap kenderaan.
Difahamkan kegiatan itu dilakukan membabitkan beberapa warga asing di lokasi terbabit dan dibuat secara bergilir-gilir.
Bertindak hasil maklumat, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melaksanakan Op Kutip KL Strike Force dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi dilaksanakan bermula jam 1 petang di dua lokasi iaitu Bukit Bintang dan Jalan Berangan.
Katanya, operasi ini bertindak menahan 17 lelaki warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an.
"Semakan mendapati 15 orang melibatkan warga Myanmar dan dua lagi warga Bangladesh," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua PATI ini bekerja sebagai penjaga parkir haram.
Tambahnya, siasatan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kegiatan itu melibatkan sindiket, berapa gaji diterima mereka dan lain-lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Terdahulu tular di media sosial satu klip video berdurasi satu minit 38 saat berhubung rungutan seorang warga tempatan berkenaan kehadiran warga asing yang sesuka hati meminta caj parkir di kawasan awam.