SETIU - Seorang buruh maut apabila kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer (KM) 63, Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu dekat Chalok Kedai, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 8.30 malam.
Menurutnya, ketika kejadian, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa, Mohd Fairul Azwa Ramli, 34, dalam perjalanan dari Bandar Permaisuri menghala Kuala Terengganu.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun telah keluar secara mengejut dari simpang rumahnya di Kampung Rahmat, Felda Chalok, di sini untuk ke jalan utama.
"Bagaimanapun, Proton Wira dipandu mangsa yang ketika itu bergerak lurus dari di laluan Kota Bharu - Kuala Terengganu tidak sempat mengelak lalu terlanggar pacuan empat roda tersebut," katanya di sini pada Selasa.
Mohd Zain berkata, akibat rempuhan itu Mohd Fairul Azwa yang bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Nor Azmi Daud, 46, mengalami cedera parah.
Beliau memberitahu, dua lagi mangsa kemalangan iaitu pemandu dan penumpang pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan mangsa yang mengalami kecederaan juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.