Kerajaan Madani terus lakar kejayaan melalui lonjakan ekonomi

Iklan
Kerajaan Madani juga membuktikan komitmen untuk membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, selaras dengan keperluan industri moden. Gambar hiasan/Foto123RF

KUALA LUMPUR - Tahun 2024 menyaksikan Kerajaan Madani terus melakar kejayaan melalui lonjakan ekonomi, hasil kerja keras sepanjang tahun demi manfaat rakyat dan negara.

Antara inisiatif ditonjolkan ialah melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memberi fokus kepada pelaburan strategik, pembangunan tenaga kerja dan sokongan kepada industri berteknologi tinggi untuk mencapai visi Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Iklan
Iklan

Provos Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan NIMP 2030 setakat suku kedua 2024 terus membuahkan hasil dengan pelbagai pencapaian penting direkodkan, antaranya peningkatan peluang pekerjaan sebanyak 0.9 peratus.

Beliau berkata, 200,000 peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan itu mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pekerjaan dalam sektor berteknologi tinggi.

Iklan

"Pastinya peluang pekerjaan baharu dapat bantu rakyat, tetapi kita perlu bersedia dengan perubahan sektor pekerjaan, dengan majikan dan industri tertumpu kepada pekerja separuh mahir dan mahir selari dengan usaha kerajaan yang sedang berhijrah kepada ekonomi kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran pendigitalan.

"Kita ada lebih 17 juta pekerja dan 70 peratus daripadanya tidak mahir, yang memerlukan latihan serta-merta, dan ini juga memberi isyarat penting agar Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF Corp) melabur lebih banyak untuk meningkatkan kemahiran pekerja ini,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Dalam usaha meningkatkan kemahiran, Kerajaan Madani juga membuktikan komitmen untuk membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, selaras dengan keperluan industri moden apabila 1,057 pakar teknikal telah menerima latihan.

Barjoyai berkata, perkara itu merupakan langkah permulaan yang baik dan berani oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghantar kumpulan pekerja negara mendapatkan latihan, sekali gus meningkatkan kemahiran pekerja tempatan.

"Sebenarnya kita perlu lebih cepat untuk menghantar pekerja kita menjalani latihan selama sebulan atau tiga bulan melalui micro-credential yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi khususnya kursus AI dan data raya,” katanya.

Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan pula ketika dihubungi Bernama berkata, antara pencapaian ketara Kerajaan Madani tahun ini dapat dilihat menerusi jumlah pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen yang diumumkan pada 24 Disember lepas.

Malah, beliau berkata, kedudukan ringgit yang semakin mengukuh berbanding dolar Amerika turut mencerminkan kestabilan ekonomi serta keyakinan pelabur asing terhadap negara ini kerana Kerajaan Madani berjaya mewujudkan kestabilan politik sepanjang lebih dua tahun pentadbiran.

"Kestabilan politik ini yang mencerminkan bahawa pelabur mempunyai keyakinan dengan struktur ekonomi yang kukuh, jadi dividen ASB yang memberangsangkan dan kedudukan ringgit mengukuh itu adalah kerana kestabilan politik.

"Jadi, saya lihat ia merupakan hadiah Kerajaan Madani kepada rakyat Malaysia," katanya.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu berkata, apabila negara mencapai kestabilan politik, maka barisan Kabinet Kerajaan Madani dapat menumpukan seluruh perhatian dalam membentuk dasar untuk kepentingan rakyat seperti kemajuan NIMP 2030 yang antaranya bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan.

"NIMP lebih beri perhatian untuk menambah peluang pekerjaan, seperti latihan teknikal, kerana Perdana Menteri menekankan dalam konsep Madani supaya mementingkan teknologi baharu dan terkini dalam pembangunan ekonomi, sebab itu diuar-uarkan setiap rakyat memahami apa dimaksudkan dengan kecerdasan buatan,” katanya. - Bernama