Banjir: Peniaga sudah lali, lebih 40 tahun kedai runcit dinaiki air

Iklan
Zaleha membersihkan kedai runcit yang dinaiki air ketika banjir kembali melanda kawasan itu pada Ahad lalu.

HULU TERENGGANU - Pasangan suami isteri yang berniaga di sebuah kedai runcit di sini mengakui sudah lali dengan bencana banjir melanda saban tahun kerana kawasan itu berada berdekatan sungai.

Othman Abdullah, 66, berkata, masalah banjir melanda kedai runcitnya di Kampung Kepah di sini berlaku sejak perniagaan itu diusahakan bersama ibu dan bapanya pada 1974.

Iklan
Iklan
Othman

Menurutnya, berdasarkan kebiasaan, banjir yang melanda di kawasan itu tidak bertahan lama kerana air akan surut dalam tempoh satu hingga dua hari.

"Saya dan isteri sudah lali dengan banjir di sini sebab setiap tahun kedai kami akan dinaiki air. Beza antara setiap banjir berpandukan kedalaman air yang naik.

Iklan

"Kalau hujan lebat luar biasa dan banjir di Kampung Basung dekat Tasik Kenyir besar, sudah pasti banjir di Kampung Kepah juga akan besar kerana air di sana akan turun ke sini.

"Macam tahun ni, banjir gelombang kedua pada akhir November lalu paling tinggi air naik sehingga mencecah hampir dua meter di dalam kedai," katanya ketika ditemui pemberita pada petang Isnin.

Iklan

Othman kini mengusahakan kedai tersebut bersama isteri, Zaleha Embong, 57, setelah kematian kedua ibu bapanya.

Jelasnya, bencana banjir paling buruk di kawasan itu berlaku pada 1986, air naik melebihi paras dua meter.

"Mengikut kebiasaan, kami akan buat persiapan banjir lebih awal misalnya menyimpan barang di atas rumah supaya tidak tenggelam.

"Untuk barangan elektrik di kedai runcit seperti peti sejuk, kami akan angkat ke atas rak yang lebih tinggi. Jadi, kalau ikutkan dari segi kerugian tak ada sangat sebab kesemua barangan kami letak di tempat selamat.

"Cuma, kalau banjir ni masalah paling utama ialah tenaga kerja untuk membersihkan rumah dan kedai yag dinaiki air sebab banjir ni ia akan datang sekali dengan lumpur sungai yang dibawa arus," ujarnya.

Othman berkata, saban tahun persiapan awal banjir akan dilakukan antara bulan Oktober hingga November.

"Apabila masuk sahaja bulan 10 dan 11, kami di kampung ini sudah bersiap sedia dan berjaga-jaga.

"Waktu itu semua orang tak duduk diam kerana pada bila-bila masa boleh berlaku banjir dan keadaan itu akan berlarutan sehingga enam bulan.

"Namun, tidak dapat diramal juga bila banjir akan berakhir kerana pernah satu tahun pada 2022 lalu banjir berlaku pada bulan Februari," katanya.

Banjir gelombang ketiga melanda Terengganu sejak Ahad lalu pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman ditutup jam 10 pagi pada Selasa.