Himpunan Gempur Rasuah: Bersih nyatakan solidariti bersama gerakan mahasiswa

Iklan
Tangkap layar kenyataan Bersih menerusi Facebook pada Selasa.

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyatakan solidariti kepada gerakan mahasiswa di Sabah yang akan turun berhimpun dalam Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada Selasa.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata, himpunan itu menjadi bukti bahawa rakyat sentiasa mengawasi setiap gerak-geri kerajaan dan inginkan bebas rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua rakyat berhak menyatakan kegusaran dan tuntutan mereka secara aman berdasarkan lunas undang-undang serta prinsip hak asasi manusia.

"Bersih ingin mengingatkan semua pihak bahawa hak berhimpun dan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 dan kami mengambil maklum bahawa akan dianjurkan perhimpunan balas terhadap Perhimpunan Aman Gempur Rasuah.

Iklan

"Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman memberi hak untuk sebarang perhimpunan dilaksanakan termasuk perhimpunan balas tetapi ia perlu berlangsung di tempat lain.

"Hal ini agar tidak berlaku pertembungan mahupun cetusan kepada perkara yang tidak diingini. Semua pihak harus bersikap sivil dan menghormati hak bersuara masing-masing,” katanya pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan mereka sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang mengadakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah dengan menyasarkan seramai 10,000 peserta.

Menurut sekretariat gerakan itu, perhimpunan tersebut akan bermula pada jam 2 petang Selasa dengan peserta berhimpun di hadapan pintu masuk UMS dan Mini Putrajaya sebelum berarak ke Menara Kinabalu.

Bagaimanapun, pada Isnin polis dilaporkan menolak penganjuran itu bagi menjaga ketenteraman awam di negeri tersebut, selain UMS turut menafikan penglibatan mahasiswa mereka dalam gerakan berkenaan.