Selaras dengan usaha negara untuk menjadi hab bagi pusat data di pasaran Asia, ia penting untuk memastikan pusat data ini tidak memberi tekanan kepada bekalan air negara.
Sebaliknya, ia mewujudkan peluang baharu untuk menjadikan air pulih guna sebagai salah satu penyelesaian.
Perkembangan itu berlandaskan perancangan garis panduan kerajaan baru-baru ini yang direka untuk menyeragam dan menyelaraskan proses pembangunan pusat data negara.
Ia bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan mampan pusat data dan memastikan pematuhan merangkumi kawal selia, teknikal, alam sekitar serta operasi.
Penggunaan air yang tinggi di pusat-pusat data bagi tujuan penyejukan amat penting untuk Malaysia menggunakan sumber air secara mampan.
Pendekatan ini untuk memastikan permintaan industri dapat dipenuhi serta memelihara sumber berharga negara dengan menggunakan sumber air alternatif tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air bersih.
Dalam konteks ini, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd siap siaga dalam memberi satu penyelesaian melalui air pulih guna yang dijana daripada bioefluen terawat.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, komitmen syarikat untuk memenuhi permintaan semakin meningkat bagi pengurusan sumber air yang mampan.
Beliau berkata, IWK menyasarkan pelaksanaan projek air pulih guna melalui kerjasama strategik dengan sektor swasta serta memanfaatkan pendekatan Build-Operate-Transfer (BOT) untuk memacu inovasi dan kecekapan.
"Pendekatan ini membolehkan syarikat swasta dapat membiayai, membina, mengendali dan menyelenggara kemudahan berkenaan bagi tempoh yang dipersetujui serta peluang untuk mendapatkan semula pelaburan sepanjang kitaran hayat projek tersebut.
"Memandangkan industri pusat data Malaysia semakin berkembang, terdapat banyak potensi untuk ia menggunakan air pulih guna. Air pulih guna boleh membantu mengurangkan permintaan dan krisis bekalan air minuman, menggalakkan kemampanan serta menggalakkan prinsip ekonomi kitaran,” kata Narendran.
Beliau berkata, air pulih guna adalah efluen terawat telah menjalani proses rawatan tambahan sekali gus menjadikannya sesuai untuk diguna semula.
"Selepas air sisa melalui loji rawatan kumbahan IWK, ia menghasilkan air terawat yang dikenali sebagai efluen terawat atau bioefluen. Biproduk ini kemudiannya boleh ditulenkan mengikut piawaian yang ditetapkan untuk kegunaan industri bagi tujuan bukan minuman seperti penyejukan dalam proses perindustrian atau untuk penggunaan pusat data,” katanya.
Beliau berkata, IWK komited untuk menyokong sektor ini dengan alternatif air bukan minuman, berdasarkan kejayaan operasi Loji Rawatan Air Pulih Guna (LRAP) yang telah menyediakan air pulih guna sejak 2021.
"Kami telah bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), melalui syarikat tujuan khas, Central Water Reclamation Sdn Bhd (CWR) untuk menguruskan LRAP di Setia Alam. Sehingga kini, LRAP berkenaan telah menghasilkan empat juta liter sehari (MLD) air pulih guna untuk kegunaan industri,” tambah Narendran.
IWK juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang bertujuan untuk menilai kebolehlaksanaan projek air pulih guna di Pulau Pinang dan Melaka.
Selain itu, IWK turut bekerjasama dengan operator air dan pihak berkepentingan di Negeri Sembilan dan Johor untuk menjana sumber air alternatif bagi kegunaan bukan minuman.
Narendran berkata, melalui semua kerjasama itu, hasil daripada penggunaan semula bioefluen dijangka akan menjadi lebih besar.
Transformasi IWK
Menurut Narendran, menjalin kerjasama dengan sektor swasta melalui pendekatan BOT dan membangunkan LRAP tambahan di lokasi utama yang disasarkan oleh pusat data, penggunaan semula bioefluen di Malaysia untuk kegunaan bukan minuman dilihat bersedia untuk berkembang dengan lebih pesat.
IWK juga telah mengaplikasikan slogan New Life for Water atau Era Baharu Air yang merangkumi semua inisiatif untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
"Ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap alam sekitar dengan memastikan bahawa efluen terawat yang dilepaskan adalah bersih, selamat dan mampan untuk alam sekitar,” katanya.
Transformasi IWK meneroka ke arah pengurusan air sisa yang lebih menyeluruh termasuk pemulihan sumber bukan sahaja mencipta peluang perniagaan baharu syarikat tetapi menjadi harapan untuk masa depan yang lebih hijau dan mampan untuk Malaysia.
IWK telah mengambil langkah ke arah menggalakkan ekonomi kitaran dan meningkatkan kemampanan industri perkhidmatan air melalui inisiatif penggunaan semula bioefluen.
Berdasarkan dengan anggaran kira-kira 6,400 MLD efluen terawat yang dilepaskan daripada loji rawatan kumbahan di seluruh Semenanjung Malaysia bersamaan dengan lebih 2,000 kolam renang bersaiz olimpik, terdapat potensi besar bagi IWK untuk memulih guna efluen terawat untuk kegunaan bukan minuman.
Strategi itu juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Transformasi Air (AIR 2040) yang dilancarkan PETRA baru-baru ini, ia memberi tumpuan kepada meningkatkan daya tahan sektor air negara dengan menggalakkan pengurusan sumber mampan dan memupuk pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan sektor swasta serta kemajuan teknologi.
"Ia menggariskan komitmen kami terhadap pengurusan air yang mampan, di samping menyediakan penyelesaian inovatif untuk pusat data yang komited terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Banyak pusat data antarabangsa telah berminat menggunakan air pulih guna ini untuk tujuan penyejukan.
"IWK sedia bekerjasama dengan pemain industri untuk membantu mereka mencapai matlamat itu. Dengan berbuat demikian, IWK bukan sahaja menyokong objektif UNSDG tetapi memainkan peranan dalam menggalakkan pelaburan asing di Malaysia.
"Ia juga memupuk pertumbuhan ekonomi mampan dalam sektor air tempatan serta mendorong pengurusan sumber lebih bertanggungjawab,” jelas Narendran.