CRISTIANO Ronaldo dilapor bersedia mempertimbangkan untuk meninggalkan Al-Nassr apabila kontraknya tamat pada musim panas ini.
Pemain antarabangsa Portugal itu telah menjaringkan 74 gol dalam 83 penampilan sejak dia secara rasmi menyertai Al-Nassr pada Januari 2023.
Walaupun Ronaldo mungkin akan terus bermain bola sepak, terdapat beberapa ketidakpastian sama ada dia akan bersama kelab Arab Saudi itu selepas akhir musim ini.
Kontrak Ronaldo bersama Al-Nassr akan tamat pada Jun 2025, bermakna dia akan bebas untuk merundingkan perjanjian pra kontrak dengan kelab lain mulai awal Januari.
Menurut laporan media Sepanyol, Marca, Ronaldo terbuka meninggalkan pasukan itu di sebalik melanjutkan tempohnya bersama pasukan kendalian Stefano Pioli tersebut.
Laporan itu mendakwa, pemain berusia 39 tahun itu bersedia untuk mempertimbangkan 'projek sukan yang menarik' di luar Arab Saudi.
Bagaimanapun, terdapat satu sebab utama yang boleh memujuk Ronaldo menandatangani kontrak baharu dengan majikannya sekarang.
Bekas bintang Manchester United itu masih berminat untuk memenangi kejuaraan liga bersama Al-Nassr yang merupakan satu-satunya objektif yang belum tercapai dan boleh meyakinkannya untuk kekal dalam Liga Pro Saudi.
Jika Ronaldo berazam untuk memenangi gelaran Liga Pro Saudi, dia perlu berada di kelab itu sekurang-kurangnya untuk satu musim lagi.