JERANTUT - Seorang guru ditemukan meninggal dunia di rumah sewanya di Taman Muhibbah di sini pagi tadi.
Mohd Rthduan Mohd Noor, 59, yang masih bujang dan bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin tinggal di rumah sewa tersebut seorang diri.
Seorang guru, Kamaruddin Mohd Napiah, 55, memberitahu, beberapa guru lain cuba menghubungi mangsa, namun panggilan telefon bimbit Allahyarham Mohd Rthduan tidak dijawab.
"Allahyarham tidak hadir ke sekolah hari ini dan dia telah mengambil cuti sakit sejak Khamis dan Jumaat lalu. Kami beranggapan dia mengambil lagi cuti tambahan.
"Namun setelah beberapa orang guru cuba menghubungi banyak kali gagal, maka kami mula berasa tidak sedap hati.
"Beberapa orang guru termasuk yang biasa dengannya yang telah bersara pergi ke rumah mangsa untuk tujuan menziarahinya," katanya.
Rakan mangsa, Baharuddin Datar, 61, berkata, dia dihubungi rakan sejawat Mohd Rthduan supaya melawat di rumah sewa mangsa.
"Rumahnya dalam keadaan bertutup dan cuba memanggilnya beberapa kali tapi tiada maklum balas walaupun kereta pacuan empat rodanya ada di hadapan rumahnya.
"Saya cuba membuka mengikut tingkap yang tidak rapat dan sebaik berjaya memasuki rumahnya, dia kelihatan terbaring di dalam sebuah bilik.
"Saya segera memberitahu kepada rakannya dan menghubungi pihak polis mengenai kejadian ini," katanya.
Katanya, dia pernah menghantar Allahyarham Mohd Rthduan ke sebuah klinik di bandar Jerantut pada Khamis lalu selepas rakannya itu mengadu tidak sihat.
Baharuddin berkata, dia sempat bersarapan bersama Mohd Rthduan pada hari tersebut sebelum menghantarnya pulang ke rumah sewa terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut,Superintendan Mazlan Hassan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia berpunca serangan jantung dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui.