Mahkamah Seoul keluarkan waran tangkap terhadap Presiden Suk Yeol

Iklan
Yoon Suk Yeol

SEOUL - Mahkamah Daerah Barat Seoul pada Selasa meluluskan permohonan untuk menahan Presiden Yoon Suk Yeol yang didakwa atas pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu.

Langkah ini menjadikan Suk Yeol sebagai Presiden Korea Selatan pertama yang berdepan penahanan ketika masih memegang jawatan.

Iklan
Iklan

Waran itu dikeluarkan atas tuduhan Suk Yeol merancang pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal, mengatur pemberontakan dan menyalahgunakan kuasa, lapor Agensi Berita Yonhap memetik sumber.

Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) memfailkan permohonan itu selepas Suk Yeol mengabaikan tiga kali panggilan untuk hadir bagi disoal siasat.

Iklan

Waran itu memberi masa 48 jam kepada CIO untuk menahan Suk Yeol bagi tujuan soal siasat dan seterusnya memfailkan permohonan waran tangkap.

Namun, pelaksanaan waran itu masih tidak jelas kerana Perkhidmatan Keselamatan Presiden telah menghalang penyiasat daripada memasuki perkarangan pejabat presiden dan kediaman rasmi Suk Yeol atas alasan keselamatan ketenteraan.

Iklan

Walaupun Suk Yeol menikmati kekebalan presiden daripada pendakwaan jenayah, keistimewaan itu tidak meliputi tuduhan pemberontakan atau pengkhianatan.

Pasukan pembelaan Suk Yeol berhujah bahawa CIO tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menyiasat kes pemberontakan, yang secara prinsipnya terletak di bawah bidang kuasa polis berdasarkan sistem semasa yang dipinda di bawah pentadbiran sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua CIO Oh Dong-woon menegaskan bahawa penahanan atau waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah tidak boleh dihalang secara sah, walaupun oleh presiden.

Suk Yeol telah digantung tugas selepas Dewan Negara yang dikuasai pembangkang meluluskan usul pemecatannya pada 14 Disember atas tindakan Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera.

Mahkamah Perlembagaan kini sedang meneliti kes untuk menentukan sama ada Suk Yeol akan dilucutkan jawatan secara rasmi atau dikembalikan ke tampuk kepimpinan.

Mahkamah mempunyai tempoh 180 hari dari tarikh 14 Disember untuk membuat keputusan. - Bernama