PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya.
FAM dalam satu kenyataan berkata, Friend yang juga bekas pemain kebangsaan Kanada akan menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
"Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.
"Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga-tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap.
"Beliau akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025," kata kenyataan itu.
Sebagai rekod, Friend merupakan seorang bekas pemain yang beraksi di posisi penyerang dengan antara kelab yang pernah diwakilinya ialah kelab Norway, Moss FC dan Molde FK; kelab Jerman, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy pada 2014.
Dalam pasukan kebangsaan Kanada pula, beliau telah melakukan sebanyak 32 penampilan antarabangsa bermula dari 2003 ketika berusia 22 tahun sehingga 2011 ketika beliau berusia 30 tahun.
Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Kanada, Friend yang bakal berusia 44 tahun pada 23 Januari depan hadir dengan portfolio hebat menerusi penglibatannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas beliau bersara sebagai pemain pada Disember 2014.
Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini.
Kemudian dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta.
Bermula 2019 hingga sekarang, Friend merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan.
Antara penglibatan terbesar beliau ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.
Terdahulu pada 16 Disember lalu, FAM telah mengumumkan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan manakala Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan sebagai sebahagian revolusi Harimau Malaya.