REJAB merupakan bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah atau kalendar Islam dan ia merupakan salah satu daripada empat bulan haram.
Kedatangan bulan Rejab menandakan kira-kira dua bulan lagi umat Islam akan bertemu dengan bulan penuh keberkatan iaitu Ramadan.
Bagaimanapun, seringkali bertebaran hadis-hadis palsu berkaitan amalan dan kelebihan bulan Rejab yang disebarkan orang ramai setiap kali bertandangnya bulan tersebut.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikelnya sebelum ini bertajuk Irsyad Al-Hadith Siri ke-576: Benarkah terdapat hadis sahih berkaitan kelebihan bulan Rejab ada huraiannya.
"Oleh itu ulama menjadikan hadis-hadis ini sebagai asas bahawa puasa di bulan Rejab adalah sunat.
"Sekalipun tidak terdapat hadis sahih berkenaan kelebihan amal ibadah dalam bulan Rejab, namun terdapat hadis daif yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada bulan Rejab.
"Umum mengetahui bahawa ulama membolehkan untuk beramal dengan hadis-hadis daif dalam aspek kelebihan beramal (fadail a’mal) selagi mana ia tida mencapai taraf palsu (maudu’),” hurainya.
Tambahnya, fuqaha dalam kalangan mazhab Syafie juga berpandangan bahawa sunat berpuasa pada bulan Rejab dan pada bulan tersebut.
Meneruskan hujahnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, secara umumnya terdapat beberapa hadis sahih yang menceritakan perihal kehidupan Nabi Muhammad SAW apabila berada dalam bulan Rejab.
"Bahkan ulama menjadikan hadis-hadis ini sebagai asas untuk mengatakan bahawa wujudnya kelebihan bulan Rejab, dengan disokong oleh hadis-hadis daif yang lain sebagai penguat,” katanya.
Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Uthman bin Hakim, beliau berkata:
"Aku bertanya kepada Saʻid bin Jubair tentang puasa Rejab, apa pandanganmu? Beliau menjawab: Ibn ‘Abbas memberitahu kami bahawa Rasulullah SAW biasa berpuasa sehingga kami menyangka Baginda SAW tidak akan berbuka. Baginda SAW juga terus berbuka sehingga kami menyangka Baginda SAW tidak akan berpuasa.” (Hadis Riwayat Muslim)
Jelasnya, riwayat ini merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam karya sahihnya. Imam Al-Baihaqi memasukkan hadis ini dalam karyanya Fada’il al-Auqat dan meletakkannya di bawah tajuk bab Fadl Syahr Rajab (Kelebihan Bulan Rejab).
"Selain itu, terdapat juga hadis lain yang menjelaskan berkenaan amalan berpuasa dalam bulan Rejab, namun disebutkan secara isyarat. Usamah bin Zaid RA meriwayatkan bahawa dia berkata kepada Rasulullah SAW:
"Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat kamu berpuasa penuh sebulan daripada bulan-bulan yang lain sebagaimana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Baginda SAW menjawab:"Bulan ini adalah bulan yang orang ramai lalai (daripada ibadat) iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku suka amalanku diangkatkan ketika aku dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat An-Nasai)
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani menyebutkan hadis ini menjelaskan bahawa bulan Rejab dan Ramadan memiliki kesamaan dalam hal keutamaan. Begitu juga dengan tuntutan berpuasa dalam bulan Rejab. Bahkan al-Syaukani menyebutkan bahawa disunatkan berpuasa pada bulan Rejab berdasarkan hadis ini.
Hadis daif berkaitan amalan bulan Rejab
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan lagi, isu amalan atau ibadah dalam bulan Rejab sering dikaitkan dengan hadis daif bukanlah suatu isu yang baru dalam kalangan masyarakat Islam.
"Bahkan isu ini sudah menjadi isu yang berulang-ulang dan akan timbul dalam kalangan umat Islam apabila tibanya bulan Rejab,” jelasnya.
Berikut merupakan antara hadis-hadis daif berkaitan bulan Rejab:
1 – Ganjaran istana di dalam syurga bagi orang berpuasa Rejab
Abu Qilabah meriwayatkan: "Dalam syurga terdapat istana yang diperuntukkan bagi mereka yang berpuasa pada bulan Rejab.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
2 – Doa ketika memasuki bulan Rejab
"Apabila tiba bulan Rejab, maka Rasulullah SAW akan berdoa: Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”
3 – Nabi SAW berpuasa di bulan Rejab
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa: "Rasulullah SAW tidak berpuasa setelah Ramadan kecuali pada bulan Rejab dan Syaaban.”
Meskipun amalan dalam bulan Rejab sering dikaitkan dengan hadis-hadis yang daif namun perlu diingatkan bahawa ulama membenarkan beramal dengan hadis daif selagi ia bukan terlalu daif (syadid al-da’f) atau palsu (maudu').
Pandangan ulama Mazhab Syafie berkenaan kelebihan bulan Rejab
Pejebat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, umumnya puasa dan ibadah dalam bulan Rejab dan Syaaban adalah dianjurkan berdasarkan kesepakatan tiga mazhab iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie.
"Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa antara puasa sunat adalah puasa pada bulan-bulan Haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab dan yang paling afdal antaranya adalah pada bulan Muharram.
"Ini menunjukkan bahawa bulan Rejab merupakan bulan yang mulia dan bulan yang disunatkan berpuasa padanya,” jelasnya.
Ujarnya, Imam Ar-Ramli menyebutkan dalam karyanya Nihayah al-Muhtaj bahawa sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas bulan Ramadan antaranya ialah bulan Rejab kerana ini salah satu daripada bulan-bulan haram.
Menurut Syeikh Abu Bakr al-Dimyati pula, terdapat sebahagian orang mengatakan bahawa puasa Rejab adalah bidaah, maka itu tidak benar. Bahkan ia adalah suatu sunnah yang diutamakan.
"Berikutan daripada penghujahan yang dikemukakan, tiada dalil mahupun pandangan yang mengharamkan untuk melakukan ibadah atau puasa di bulan Rejab.
"Bahkan majoriti ulama berpandangan bahawa ia adalah sunat. Walaupun ada yang mempertikaikan kononnya tidak bersumberkan hadis yang sahih namun dalam hal pengamalan maka fuqaha menjadi rujukan utama bagi orang awam,” hujahnya.