Pemuda UMNO mahu proses keadilan adil tanpa campur tangan politik

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung Najib Tun Razak perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah. Gambar kecil: Shah Zanuriman

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Malaysia mahu proses keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijalankan dengan adil dan tanpa sebarang campur tangan politik.

Sehubungan itu, Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan menyokong tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mempersoalkan kenyataan media Peguam Negara mengenai isu pengampunan Najib.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Peguam Negara perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Selangor dalam kenyataan sama turut berkata, tidak ada salahnya Akmal bertanya secara terbuka kepada Peguam Negara tentang tindakan untuk mengiktiraf Titah Adendum tanpa melalui Lembaga Pengampunan.

Iklan

"Kita perlu ingat bahawa pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipertikaikan kerana tidak melalui Lembaga Pengampunan yang lengkap kerana ketika itu Peguam Negara sedang dicutikan dan Menteri Wilayah Persekutuan masih belum dilantik.

"Dua entiti ini adalah entiti penting dalam pembentukan Lembaga Pengampunan.

Iklan

"Namun, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa hal tersebut tidak bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan," ujarnya lagi.

Beliau menambah, kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah prerogatif baginda, dan dalam kes tertentu, tidak semestinya bergantung kepada nasihat Lembaga Pengampunan.

Tegasnya, rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya menasihati Peguam Negara agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan integriti dan imej Pejabat Peguam Negara, bukannya menyalahkan Akmal yang hanya mahu menegakkan keadilan dan prinsip undang-undang.

"Apa yang kami, Pemuda UMNO Malaysia mahukan hanyalah proses keadilan terhadap Datuk Seri Najib Razak dijalankan dengan adil dan tanpa sebarang campur tangan politik.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan hak beliau untuk mendapat layanan yang sewajarnya di sisi undang-undang," menurutnya lagi.