SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) berpendirian bahawa kritikan melalui karya seni seperti satira tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah walaupun terdapat individu yang tidak bersetuju dengan mesej dibawa oleh aktivitis dan pereka grafik, Fahmi Reza.
Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, kebebasan bersuara dan berekspresi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan perlu sentiasa dilindungi selagi ia tidak menyebabkan sebarang ketidaktenteraman awam.
Sehubungan itu, beliau berkata, AMK mendesak supaya Fahmi dibebaskan dengan kadar segera susulan penahanannya bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Hasutan 1948.
"Kami kesal dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menahan Fahmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang malam tadi (Isnin).
"Penahanan Fahmi jelas tidak selari dengan prinsip dan nilai yang diamalkan di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana beliau sendiri menyatakan tidak bersetuju sekiranya Fahmi ditahan atau didakwa.
"Ia susulan karyanya terkait pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah. Kami desak bebaskan Fahmi dengan kadar segera dan AMK juga sedia memberikan bantuan guaman untuk membantu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin dilaporkan ditahan polis jam 5 petang pada Isnin susulan lebih 30 laporan diterima termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Tun Musa.
Pereka grafik itu ditahan selepas hadir untuk dirakam keterangan di IPD Penampang dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.