Dua pesara guru jadi mangsa 'scammer' rugi lebih RM2.2 juta

Iklan
Dua pesara guru di negeri ini menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan skim pelaburan tidak wujud dan diperdaya individu menyamar penjawat awam sehingga mengalami kerugian keseluruhan mencecah lebih RM2.2 juta. Gambar kecil: Yahaya Othman

KUANTAN - Dua pesara guru di negeri ini menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan skim pelaburan tidak wujud dan diperdaya individu menyamar penjawat awam sehingga mengalami kerugian keseluruhan mencecah lebih RM2.2 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 71 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, nasib malang menimpa warga emas itu bermula selepas dia melayari Facebook dan tertarik dengan iklan pelaburan saham yang diiklankan melalui laman sosial itu.

"Mangsa dipercayai menekan pautan diberi dan disambungkan ke satu grup aplikasi Whatsapp sebelum diminta memuat turun satu aplikasi pelaburan. Mangsa diminta mengisi maklumat peribadi berserta gambar kad pengenalan dan nombor akaun bank.

Iklan

"Mangsa yang dijanjikan pulangan 30 peratus bersetuju menyertainya dengan pelaburan pertama sebanyak RM10,000," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, pada November lalu, mangsa telah menyemak dan mendapati wang keuntungan telah masuk ke dalam akaunnya di aplikasi tersebut.

Iklan

"Terpedaya dengan keuntungan itu, mangsa telah menambah pelaburan melalui 21 transaksi ke enam akaun berbeza membabitkan jumlah lebih RM1.8 juta.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa sedar ditipu setelah diminta untuk memasukkan wang RM2.84 juta lagi," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cuba mengeluarkan wang keuntungan di aplikasi itu berputih mata apabila gagal berbuat demikian dan mengalami kerugian RM1,875,199.

Sementara itu Yahaya berkata, kes kedua melibatkan seorang wanita berusia 60 tahun yang diperdaya selepas menerima panggilan daripada 'ejen syarikat insurans' berkaitan tuntutan insurans atas namanya.

Menurutnya, mangsa menafikan berkenaan tuntutan tersebut dan panggilan itu ditamatkan.

Mangsa menerima satu lagi panggilan daripada anggota polis yang memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Zaidi' memaklumkan dia terlibat dengan penggubahwang haram melibatkan akaun sebuah bank berjumlah RM 2.8 juta.

"Mangsa menafikan perkara itu kerana tidak pernah mempunyai akaun di bank berkenaan.

"Bagaimanapun mangsa telah diarahkan untuk ke bank menukarkan nombor telefon kepada nombor yang diberikan dan memindahkan wang daripada akaun banknya ke akaun bank suspek kononnya untuk siasatan Bank Negara," ujarnya.

Tambah beliau, suspek juga mengarahkan mangsa membuat pinjaman wang dan akur dengan arahan itu.

"Tidak cukup dengan itu, mangsa juga diperdaya hingga menjual barang kemas miliknya dan semua wang itu dimasukkan ke akaun suspek.

"Mangsa menyedari ditipu setelah suspek terus meminta wang," katanya.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai agar membuat semakan sebelum menyertai sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan menjanjikan keuntungan yang lumayan.

"Sekiranya menerima panggilan meragukan, segera buat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari ditipu," katanya.

Menurutnya lagi, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bayaran.