1,235 aksesori motosikal bernilai lebih RM400,000 dimusnahkan JSPT Kedah

Iklan
Abdel Nasser (kiri) memeriksa barangan kes aksesori motosikal yang dirampas sebelum dilupuskan di IPK Kedah.

ALOR SETAR - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melupuskan 1,235 barangan kes bernilai lebih RM400,000 membabitkan pelbagai aksesori motosikal yang dirampas sepanjang tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintenden Abdel Nasser S. Salleh berkata, kesemua barangan kes merupakan rampasan daripada operasi dijalankan JSPT bersama lain-lain penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah menerusi operasi khas motosikal dan operasi samseng jalanan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keseluruhan barangan disita membabitkan item yang diubah suai pemilik atau penunggang motosikal sebanyak 6,168 barang kes.

Abdel Nasser (kiri) memeriksa barangan kes aksesori motosikal yang dirampas sebelum dilupuskan di IPK Kedah.

"Sebanyak 1,235 barangan kes dari keseluruhan 6,168 item dirampas telah dilupuskan dalam tiga fasa yang dijalankan dalam tahun ini.

Iklan

"Pelupusan melibatkan item seperti ekzos, swing arm, enjin, karburator, unit kawalan elektronik (ECU) dan tayar yang tidak mengikut spesifikasi atau diubah suai,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah pada Selasa.

Abdel Nasser berkata, kebanyakan item yang disita merupakan ekzos dan swing arm membabitkan sebanyak 3,286 unit ekzos dan 2,178 unit swing arm.

Iklan

"Dalam fasa ketiga ini, kita melupuskan 585 item rampasan melibatkan 445 unit ekzos, 128 unit swing arm, empat unit karburator, dua ecu dan enam lain-lain item yang mendapat arahan pelupusan daripada Majistret di bawah seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah menerusi kaedah pelupusan menggunakan penggelek jalan,” ujarnya.

Menurutnya, proses pelupusan dilaksanakan mengikut panduan piawaian untuk memastikan kepatuhan undang-undang serta peraturan ditetapkan.

"Item selebihnya yang disita masih menunggu keputusan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mahkamah.

"Antara kesalahan sering dilakukan ialah mengubah suai ekzos iaitu kesalahan di bawah kaedah 103 penyelenggaraan penyenyap. Selain kesalahan ubah suai struktur dan kelengkapan seperti karburator dan ecu iaitu kesalahan di bawah kaedah 34 kaedah-kaedah kenderaan bermotor 1987.

"Pemilik motosikal juga boleh dipersalahkan di bawah kaedah 94 kaedah-kaedah kenderaan bermotor 1987 sekiranya tidak memasang peti pada rantai motosikal,” jelasnya.

Sebahagian ekzos motosikal yang dirampas dilupuskan menggunakan penggelek jalan pada Selasa.

Abdel Nasser berkata, penguatkuasaan menyita kenderaan yang dilakukan bukan berhasrat menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya aspek keselamatan perlu diberikan keutamaan.

"Pemilik boleh menuntut kembali motosikal yang disita dalam tempoh 24 jam dengan syarat memasang semula aksesori asal," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak terlibat dengan aktiviti rempit kerana ia membahayakan diri sendiri selain mengganggu ketenteraman awam.

"Kesalahan rempit atau samseng jalanan adalah kesalahan serius dan boleh dihukum di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

"Ia juga boleh disabitkan bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam atau bawah Seksyen 81(3) APJ 1987 bagi kesalahan sekatan ke atas pertandingan dan ujian kelajuan,” jelasnya.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 42(1) APJ.

"Saya ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mengikut undang-undang ditetapkan selain menggunakan aksesori kenderaan mengikut piawaian ditetapkan.

"PDRM tidak akan berkompromi dalam membendung kegiatan rempit malah kita akan mengesan pemilik motosikal yang diubahsuai sehingga ke rumah atau tempat kerja,” katanya.

Abdel Nasser berkata, pemeriksaan di bengkel-bengkel yang dikenal pasti melakukan pengubahsuaian motosikal secara tidak sah juga digiatkan.