Pulau Pinang rekod 73 peratus pencapaian bagi tahun 2024

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang merekodkan 73 peratus pencapaian tahun ini dengan 359 projek berjaya disiapkan, sembilan sedang berlangsung manakala lima lagi sedia dilaksanakan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mempunyai tempoh lima tahun lagi untuk merealisasikan Visi Penang2030, yang digagaskan bagi melahirkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bukan sekadar Visi Penang2030, Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi Negeri Pulau Pinang (Penang SEED) telah dilancarkan pada tahun 2023 sebagai pelan kesinambungan visi tersebut.

"Peranan Pulau Pinang sebagai salah satu negeri penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara khususnya dalam industri pembuatan serta sektor perkhidmatan sememangnya satu prestasi yang amat membangggakan.

Iklan

"Namun tidak dapat dinafikan, kerancakan ekonomi dalam negeri memerlukan pentadbiran ini bekerja dengan lebih gigih bagi memantapkan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam yang efisien untuk memastikan kelancaran mobiliti, meningkatkan kualiti hidup serta penyuraian kesesakan lalu lintas," katanya dalam perutusan tahun baharu 2025 pada Selasa.

Tambah beliau, bagi memenuhi keperluan itu, Kerajaan Pulau Pinang telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengoptimumkan infrastruktur dan pengangkutan awam terutamanya projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang kini berada pada peringkat rundingan.

Iklan

"Selain itu, tanah untuk depoh projek LRT di Pulau Silikon juga dijangka siap dan diserahkan kepada pemaju serta pemilik aset untuk projek tersebut, MRT Corporation menjelang akhir tahun 2025.

"Serentak itu, Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan telah dimulakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada pertengahan tahun ini.

"Ia juga merupakan langkah strategik untuk menjadikan LTAPP sebagai salah satu lapangan terbang yang mempunyai ketersambungan dengan volum penerbangan tertinggi dalam negara, malah tidak mustahil di Asia," ujarnya.

Kon Yeow berkata, peningkatan kedatangan pelancong ke Pulau Pinang turut didorong oleh peningkatan jumlah penerbangan terus dari pelbagai lokasi di seluruh dunia terutamanya dengan pengenalan laluan baharu ke Shenzhen, China dan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Chennai, India.

"Peningkatan ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada sektor pelancongan, malah memberi rangsangan positif pada ekonomi negeri secara keseluruhan," tambahnya.

Menurut beliau lagi, dalam sektor perindustrian, walaupun Pulau Pinang sebuah negeri kecil, ia berjaya mencatatkan rekod pelaburan memberangsangkan bagi tahun 2024.

"Ia dapat dilihat daripada rekod pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM22.6 bilion sehingga suku ketiga tahun ini melalui sektor pembuatan yang menyumbang RM12.1 bilion dan RM10.4 bilion daripada sektor perkhidmatan.

"Angka tersebut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi negeri ini dengan 364 projek yang dicatatkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan dianggarkan sebanyak 14,042 peluang pekerjaan baru dapat diwujudkan untuk rakyat negeri ini khasnya," katanya.

Kon Yeow berkata, sebagai juragan dalam pentabiran kerajaan negeri, beliau akan terus komited untuk berusaha memastikan Pulau Pinang terus dipacu dengan pentadbiran yang telus, progresif dan manusiawi.

"Pada September 2024, saya telah memutuskan untuk tidak lagi bertanding dalam pemilihan parti peringkat negeri bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu.

"Saya berharap dengan langkah ini, sebuah platform akan dimanfaatkan bagi mengasah bakal pemimpin negeri yang akan menyambung legasi kepimpinan dengan menjunjung mandat rakyat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama," ujarnya.

Menurutnya, pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada pembangunan negeri ini.

"Saya berharap seluruh rakyat Pulau Pinang bersama-sama menyambut ketibaan tahun 2025 dengan anjakan paradigma.

"Semoga tahun baharu ini membawa lembaran yang penuh kebahagiaan, kesihatan yang baik dan kemakmuran dari segi pertumbuhan ekonomi serta keharmonian kepada seluruh rakyat Pulau Pinang," tambahnya.