PUTRAJAYA - Pengkelasan isi rumah kepada bawah 40 (B40), pertengahan 40 (M40) dan teratas 20 (T20) yang hampir 15 tahun digunakan kerajaan tidak mencerminkan realiti sebenar stratifikasi ekonomi isi rumah di Malaysia.
Kertas kerja terkini oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk Mencari Golongan Miskin dan Kelas Pertengahan di Malaysia mendedahkan, terdapat penyimpangan ketara daripada klasifikasi B40, M40 dan T20 serta menawarkan perspektif baharu tentang stratifikasi ekonomi.
"Selama hampir 15 tahun, dari Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Malaysia telah menggunakan klasifikasi ini sebagai asas dasar ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kertas kerja terkini KRI itu adalah kemas kini kepada model Ruang Perbelanjaan yang telah diterbitkan pada 2019.
Model berkenaan dibangunkan berdasarkan kajian terdahulu oleh Hausmann dan Klinger (2006), Hidalgo et al. (2007) serta Hidalgo dan Hausmann (2009).
Model ini menghasilkan pengkelasan baharu isi rumah berdasarkan corak perbelanjaan sebenar yang mendedahkan struktur asas perbelanjaan isi rumah, daripada keperluan asas kepada barangan dan perkhidmatan kompleks.
Ujar KRI, kebanyakan dasar menyamakan B40 dengan isi rumah miskin dan M40 dengan kelas pertengahan atau isi rumah bercita-cita tinggi serta kelas aspirasi.
"Kertas kerja ini mendapati bahawa klasifikasi tersebut mungkin tidak lagi mencerminkan realiti kerana kumpulan isi rumah dalam kategori ini tidak memiliki corak perbelanjaan yang seragam," jelas institut terbabit.
Katanya lagi, corak perbelanjaan golongan antara B20 dan T30 yang boleh disebut sebagai M50, kelihatan agak seiras.
"Walaupun sesetengah isi rumah mampu menikmati sedikit perbelanjaan tambahan, seperti makan di luar atau menghantar anak ke kelas tambahan, mereka masih mengalami kompromi dalam kesejahteraan dan taraf hidup," menurutnya.
Kertas kerja yang disediakan oleh Penyelidik Bersekutu Gregory Ho dan Pengarah Penyelidikan KRI Suraya Ismail turut mendapati golongan M50 bukanlah kelas pertengahan sebenar dan masih terdedah kepada risiko ekonomi.
"Oleh itu, lebih tepat untuk menyatakan bahawa hanya 30 peratus teratas daripada jumlah isi rumah tergolong dalam kelas pertengahan atau kelas aspirasi," katanya.
Justeru kertas kajian tersebut mencadangkan pembahagian pengkelasan B20 merujuk kepada isi rumah yang tertumpu kepada memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian.
M50 pula adalah golongan yang menghadapi kompromi antara keperluan asas dan barangan aspirasi, menandakan kerentanan ekonomi.
Sementara T30 merupakan isi rumah yang menunjukkan corak perbelanjaan aspirasi mencerminkan kelas pertengahan, tetapi tidak semestinya kaya mengikut standard global.
Mengulas lanjut, KRI berkata, pengelasan itu walaupun berguna, perlu difahami sebagai ukuran perbandingan relatif dalam konteks sesebuah masyarakat.
"Sebagai contoh, golongan terkaya di negara miskin mungkin dianggap masih miskin jika dibandingkan dengan negara kaya.
"Dengan memahami had pengelasan ini, ia boleh menjadi kaedah yang berguna untuk merangka dasar lebih sesuai bagi menangani isu dihadapi kumpulan tertentu," katanya.