Awang Perah dilepaskan ke Royal Belum

Iklan
Gajah liar yang diberi nama Awang Perah berjaya ditangkap dan dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum, Gerik hari ini.

GERIK - Seekor gajah liar jantan diberi nama Awang Perah yang ditangkap di Kampung Perah di sini Khamis lalu berjaya dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak ke Hutan Simpan Royal Belum hari ini.

Seramai 15 pegawai dari Perhilitan Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang mengambil masa hampir empat jam bagi memindahkan gajah seberat 2 tan itu.

Iklan
Iklan

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, proses pemindahan mamalia itu dilakukan selepas menerima aduan gangguan gajah dan kerosakan tanaman pisang serta getah pada 1 Februari lalu.

"Operasi mengesan haiwan itu dijalankan oleh Unit Tindakan Gajah (UTG) Gerik.

Iklan

"Melalui siasatan dijalankan, gajah ini merupakan gajah tunggal yang tersesat dengan menyeberangi Sungai Perak dari Hutan Simpan Air Chepam yang menjadi kawasan keliarannya untuk mencari makan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Perhilitan mengambil masa hampir empat jam untuk memujuk gajah tunggal yang berjaya tangkap Khamis lalu.

Yusoff berkata, proses pemindahan gajah berusia 18 hingga 20 tahun itu dibantu dua gajah denak bernama Abot dan Rambai yang dibawa dari PKGK.

Iklan

"Gajah ini adalah yang pertama ditangkap tahun ini dan dilepaskan ke habitat asal di Hutan Simpan Royal Belum. Berdasarkan rekod, tiada gajah yang dilepaskan sebelum ini tersesat kembali ke kawasan penduduk.

"Terima kasih kepada penduduk kampung yang telah memberi kerjasama kepada Perhilitan dengan tidak mengambil tindakan sendiri atau melakukan provokasi,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Perak, Embi Razalli berkata, kehadiran gajah itu memberi kesan kepada penduduk terutama yang berkebun dan menoreh getah kerana takut terserempak dengan haiwan liar itu.

Khidmat Abot dan Rambai digunakan bagi memujuk Awang Perah untuk dilepaskan ke habitat asal di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik hari ini.

"Kejadian ini selalu berlaku tetapi di kawasan hutan berhampiran cuma kali ini, gajah ini telah menyeberangi sungai sekali gus memasuki kawasan kampung.

"Kita nasihatkan penduduk untuk tidak ambil tindakan sendiri sebaliknya terus menghubungi Perhilitan. Kita bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini dan syukur semuanya selamat,” katanya.

Seorang penduduk, Anita Ahmad, 46, berkata, dia bersama suaminya sentiasa berwaspada setiap kali menoreh di kebun berhampiran memandangkan tangkapan gajah bukan kali pertama dilakukan di kawasan itu.

"Perhilitan pernah tangkap seekor gajah di kampung bersebelahan.

"Setiap kali turun menoreh memang kita sentiasa berjaga-jaga tambahan bila ada bekas tapak kaki atau pokok-pokok dimusnahkan. Laju kita buat kerja dan pulang,” katanya.

Perhilitan berjaya memindahkan Awang Perah selepas ditangkap Khamis lalu.