PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyenaraikan empat kenangan manis yang berjaya diraih skuad Harimau Malaya sepanjang tahun 2024.
Melalui satu hantaran di Facebook FAM, kejayaan mengikat pasukan gergasi Asia, Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3 pada aksi terakhir kumpulan di Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar menjadi kenangan paling manis skuad negara pada tahun ini.
"Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului Taeguk Warriors hasil jaringan Faisal Halim dan juga penalti Arif Aiman masing-masing pada minit ke-51 dan 62. Jaringan Romel Morales pada minit ke-90 15 membantu Harimau Malaya meraih satu mata di Stadium Al-Janoub, Qatar.
"Skuad kebangsaan juga beraksi kali pertama secara merit di Piala Asia selepas 43 tahun dan menamatkan cabaran pada peringkat kumpulan," kata hantaran di Facebook FAM.
Namun, dalam kejohanan yang berlangsung pada 12 Januari itu menyaksikan Malaysia gagal melangkah ke pusingan seterusnya selepas kecundang dua perlawanan awal kepada Jordan dan Bahrain.
Selain itu, FAM turut menyenaraikan jaringan berkelas dunia daripada Faisal Halim yang menang jaringan terbaik Piala Asia antara pencapaian manis skuad negara.
Faisal mencipta sensasi dengan gol menariknya itu apabila berjaya mengelecek pertahanan dan penjaga gol Korea termasuk pemain yang beraksi bersama Bayern Munich, Kim Min-jae sebelum menjaringkan gol.
Gol yang dijaringkan pada minit ke-51 itu berjaya menerima 85 peratus undian sekali gus mengatasi tujuh lagi gol dan menjadi jaringan terbaik kejohanan tertinggi Asia itu.
Sementara itu, penampilan pertama empat pemain iaitu Jimmy Raymond, G Pavithran, Najmuddin Akmal dan Daryl Sham pada Piala ASEAN baru-baru ini juga menjadi momen bermakna buat pasukan kebangsaan.
Jimmy Raymond yang berusia 28 tahun dan G Pavithran (19) memperoleh kaps pertama bersama skuad kebangsaan bertemu Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh manakala Najmuddin Akmal (21) turun buat kali pertama ketika menewaskan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Daryl Sham yang berusia 22 tahun pula diberikan peluang beraksi buat kali pertama ketika Harimau Malaya berdepan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok selaku pemain gantian.
Perjalanan skuad negara dalam kejohanan itu hanya berakhir di peringkat kumpulan.
Harimau Malaya juga berjaya meraih piala pertama sejak sekian lama apabila muncul juara Pestabola Merdeka 2024 edisi ke-43 selepas menewaskan pasukan ke-112 dunia, Lebanon dengan keputusan 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 8 September lalu.
Kemenangan edisi 2024 menjadi kejuaraan ke-13 yang dikecapi oleh Malaysia sekali gus menjadi pasukan dengan kejuaraan terbanyak di Pestabola Merdeka sejak diperkenalkan pada tahun 1957.