PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju dengan pelantikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) yang baharu berkuat kuasa esok.
ST dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan Shamsul Azri, 55, mempunyai pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam selain pernah berkhidmat di pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Pentadbiran Kerajaan Negeri.
Iklan
Iklan
"ST mengalu-alukan kepimpinan Shamsul Azri untuk membawa agenda ST ke tahap yang lebih tinggi.
"ST juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Mohamad Razif Abd Mubin atas sumbangan serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Sementara ST," menurut suruhanjaya itu.
Ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001, ST bertanggungjawab mengawal selia sektor tenaga, khususnya industri pembekalan elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia. - Bernama